Ular sawa batik ceroboh bilik air rumah penduduk di Jalan Bayu

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Sri Aman berjaya menangkap seekor ular sawa batik yang ditemui berada di dalam bilik air kediaman penduduk di Jalan Bayu, Simanggang. Foto APM Sri Aman

SIMANGGANG, 19 November: Penghuni sebuah rumah di Jalan Bayu berdepan detik cemas apabila seekor ular sawa batik ditemui berada di dalam bilik air kediaman mereka hari ini.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi menggunakan Kenderaan Penyelamat Ringan (LRV) jenis JMC.

Setibanya di lokasi, anggota APM mendapati reptilia berkenaan berada di dalam bilik air rumah pengadu.

Tanpa membuang masa, anggota bertindak menjalankan operasi menangkap ular berkenaan menggunakan teknik menyepit.

Hasil tindakan pantas dan cekap pasukan penyelamat, ular sawa batik itu berjaya ditangkap dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Operasi berkenaan melibatkan empat anggota dan selesai sepenuhnya sebelum pasukan kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman dalam keadaan selamat.

APM Daerah Sri Aman turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko dengan cuba menangkap atau menghalau sendiri haiwan berbisa serta reptilia berbahaya sekiranya terserempak dengannya.

Sebaliknya, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan dan mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebarang kecemasan, orang ramai boleh menghubungi APM Sri Aman menerusi talian 083-320973.

Oleh Adi Safarman