SUPP gesa perlindungan data peribadi diperkukuh susulan kes penipuan pinjaman

Facebook
WhatsApp
PERLINDUNGAN DATA... Milton Foo menggesa pihak berkuasa memperkukuh perlindungan data peribadi susulan kes penipuan pinjaman dalam talian yang menyebabkan sebuah keluarga di Kuching kerugian RM10,000.

KUCHING, 19 November: Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggesa pihak berkuasa dan agensi berkaitan memperkukuh perlindungan data peribadi susulan kes penipuan pinjaman dalam talian yang menyaksikan sebuah keluarga di Kuching diugut dan kerugian RM10,000.

Ketua biro itu, Milton Foo berkata, kes berkenaan bermula apabila seorang lelaki membuat pinjaman S$200 (kira-kira RM700) dalam talian sebelum keluarganya menjadi sasaran ugutan sindiket.

Menurutnya, kes itu menimbulkan persoalan serius mengenai bagaimana sindiket boleh memperoleh maklumat peribadi dengan begitu mudah walaupun Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi.

“Di manakah perlindungan data peribadi kita? Kita mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi, tetapi nampaknya sesiapa sahaja boleh membeli data peribadi kita di negara ini. Ini perkara yang sangat serius,” katanya pada sidang media.

Foo berkata, lelaki itu hanya memberikan nama dan nombor telefon ibunya ketika memohon pinjaman berkenaan. Namun, menurutnya, sindiket itu memperoleh nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat wanita berkenaan, malah mengetahui nama ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

“Mereka tahu nama ibu bapa wanita itu walaupun kedua-duanya sudah meninggal dunia. Bagaimana mereka boleh mendapatkan maklumat sedemikian dengan begitu mudah?” katanya.

Beliau berkata, butiran yang diperoleh sindiket itu dipercayai berkaitan dengan rekod kad pengenalan dan menimbulkan persoalan tentang sumber maklumat berkenaan.

“Kita tidak tahu sama ada maklumat itu diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Persoalan saya ialah bagaimana sindiket boleh mendapatkan butiran sedemikian dengan begitu mudah,” katanya.

Foo berkata, pemerolehan data peribadi secara tidak sah dan penyalahgunaannya boleh mengancam keselamatan individu, keluarga serta negara.

“Jika sindiket boleh mendapatkan data rakyat dengan mudah untuk kegiatan menyalahi undang-undang, perkara itu menjadi ancaman serius kepada rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan menyiasat perkara itu serta memperkukuh langkah perlindungan data sedia ada bagi mengelakkan maklumat peribadi jatuh ke tangan sindiket jenayah.

Oleh Connie Chieng