KUALA LUMPUR, 19 November: Kapasiti Hospital Sibu di Sarawak bakal dipertingkatkan menerusi pembinaan blok tambahan yang merangkumi 288 katil, selain peluasan perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk di wilayah itu.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata permohonan projek berkenaan telah diangkat semula untuk pertimbangan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) secara kerja awalan.
Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Kementerian Ekonomi bagi membolehkan kerja awal dilaksanakan, termasuk penyiasatan tanah bagi mendapatkan reka bentuk yang sesuai berikutan masalah tanah lembut di kawasan hospital berkenaan.
Hanifah Hajar berkata pelaksanaan kerja awalan itu akan menentukan kos projek dengan lebih tepat sebelum permohonan pelaksanaan keseluruhan projek dikemukakan.
“Blok tambahan ini akan meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran setara hospital pakar negeri dengan skop merangkumi blok klinikal dengan penambahan sebanyak 288 katil.
“Selain itu, penambahan turut merangkumi blok kuarters 46 unit, blok sokongan termasuk tempat letak kereta, perolehan peralatan dan komponen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta tambahan perjawatan baharu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Hanifah Hajar menjawab soalan Oscar Ling (PH-Sibu) berhubung status terkini cadangan pembinaan bangunan baharu Hospital Sibu, perancangan pelaksanaannya serta tempoh pembinaan dan keperluan bangunan itu dalam menangani kesesakan, serta meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan.
Beliau berkata projek itu juga dijangka membantu mengatasi kesesakan di wad serta Jabatan Kecemasan dan Trauma, selain menaik taraf klinik pakar serta menambah baik fasiliti perkhidmatan wanita dan kanak-kanak termasuk kemudahan rawatan kritikal, dewan bedah dan dewan bersalin.
Sementara itu, Hanifah Hajar berkata Hospital Sibu telah menerima peruntukan berjumlah RM27.6 juta bagi kerja pembaikan, naik taraf dan perolehan peralatan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.
Antara projek yang telah dilaksanakan termasuklah pemasangan sistem bekalan kuasa terpencil (IPS) bagi dewan bedah, naik taraf bangunan untuk perkhidmatan pengimejan resonans magnetik (MRI), pewujudan makmal kardiologi invasif berserta peralatannya, naik taraf sistem saluran elektrik serta kerja-kerja mengatasi masalah kondensasi dan kulat. – Bernama





