SIBU, 18 November: Seramai 20 kakitangan pentadbiran Hospital Sibu menyertai Program Sokongan Asas Hayat (BLS) Komuniti (Kakitangan Pentadbiran) Bil. 4/2026 bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam memberikan bantuan awal ketika berdepan situasi kecemasan.
Menurut kenyataan Hospital Sibu, program diadakan di Dewan Rejang, Hospital Sibu itu turut melibatkan lima fasilitator yang membimbing peserta sepanjang latihan berlangsung.

Penganjuran program berkenaan bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan kakitangan pentadbiran dalam menghadapi situasi kecemasan yang memerlukan tindakan segera.
Selain meningkatkan pengetahuan mengenai bantuan hayat asas, latihan itu juga memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan tindakan awal sebelum bantuan perubatan lanjut diberikan.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Hospital Sibu untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan kakitangannya dalam aspek keselamatan dan pengendalian kecemasan.
Oleh Akun Giman




