Penjagaan susulan penting pastikan bayi pramatang membesar sihat

Facebook
WhatsApp
DR NANTHAKUMAR ketika merasmikan Hari Pramatang Sedunia 2026 peringkat Hospital Sibu. Foto Hospital Sibu

SIBU, 18 November: Penjagaan susulan dan pemantauan kesihatan secara berterusan amat penting bagi memastikan bayi pramatang mendapat peluang untuk membesar dengan sihat serta mencapai potensi perkembangan sepenuhnya.

Sehubungan itu, Hospital Sibu terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya ibu bapa dan keluarga, mengenai kepentingan penjagaan dan intervensi awal bagi bayi yang dilahirkan sebelum cukup bulan.

Usaha berkenaan diketengahkan menerusi sambutan Hari Pramatang Sedunia (World Prematurity Day) 2026 peringkat Hospital Sibu yang berlangsung di sini.

Bertemakan “Bayi Kecil, Potensi Besar,” sambutan itu memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan susulan dalam melindungi kesihatan dan masa depan bayi pramatang.

KESEDARAN PENJAGAAN BAYI PRAMATANG…Sambutan Hari Pramatang Sedunia 2026 peringkat Hospital Sibu. Foto Hospital Sibu

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu.

Menurut kenyataan Hospital Sibu, program berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai keperluan khusus bayi pramatang, termasuk pemantauan kesihatan dan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan ahli keluarga.

Sambutan itu turut diisi dengan pameran dan penyampaian maklumat oleh pelbagai jabatan dan unit hospital bagi memberi pendedahan mengenai aspek penjagaan bayi pramatang.

Melalui penganjuran program tersebut, Hospital Sibu berharap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan dan intervensi awal dapat dipertingkatkan bagi membantu bayi pramatang mencapai tahap kesihatan dan perkembangan yang optimum.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Pediatrik, penyelia jururawat dan warga kerja Hospital Sibu.

Oleh Akun Giman