MARUDI, 13 November: Penyakit kardiovaskular merupakan antara isu kesihatan yang perlu diberi perhatian di daerah Marudi berdasarkan analisis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, penemuan itu seharusnya menjadi dorongan untuk memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai faktor risiko serta langkah pencegahan penyakit berkenaan.
Menurutnya, penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular boleh membawa kesan serius sekiranya tidak dikesan dan dikawal pada peringkat awal.
“Amalan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal secara konsisten, mengawal tekanan darah dan paras kolesterol, mengelakkan rokok serta menjalani pemeriksaan kesihatan merupakan antara langkah penting dalam mengurangkan risiko penyakit jantung.
“Saya ingin menggalakkan penduduk agar tidak mengambil mudah tanda-tanda awal masalah kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar 2026 di Dewan Suarah Marudi, hari ini.
Penguang berkata, masyarakat yang sihat merupakan asas kepada pembentukan negeri yang produktif dan berdaya maju.
Jelasnya, tanpa tahap kesihatan yang baik, usaha meningkatkan produktiviti, pendidikan dan kesejahteraan keluarga akan terjejas.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa aspek kesihatan awam perlu diberikan perhatian berterusan dengan membudayakan amalan pencegahan serta pemeriksaan kesihatan secara berkala, bukannya hanya mendapatkan rawatan apabila jatuh sakit.
Dalam pada itu, beliau berkata, akses kepada perkhidmatan kesihatan juga merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, faktor jarak dan keadaan geografi kadangkala menjadi cabaran kepada penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.
Justeru, usaha memperluas penyampaian perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan kesedaran di peringkat komuniti perlu diteruskan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa penjagaan kesihatan rakyat bukan hanya tanggungjawab sektor kesihatan, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak.
Katanya, kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM), hospital, klinik kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan pemimpin masyarakat amat penting bagi memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada mendapat perkhidmatan kesihatan sewajarnya.
“Kepada seluruh masyarakat Marudi, jadikanlah kesihatan sebagai keutamaan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Indera Mohd Shahar Abdullah; Pengarah Pusat SDG Negara, Kementerian Ekonomi, Asfaazam Kasbani; dan Pengarah Highland Development Agency (HDA), Juan Ubit.




