SEBANYAK RM431 ribu telah diperuntukkan bagi menaik taraf empat gelanggang tenis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya sebagai persiapan melatih dan mencari bakat pemain tenis di negeri ini.
SMK Tabuan Jaya merupakan satu-satunya Sekolah Sukan Sarawak yang terdapat di negeri ini.
Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata antara yang dinaik taraf ialah lampu, pagar, lantai gelanggang dan sebagainya.
“Empat gelanggang tenis yang akan dinaik taraf mengikut standard antarabangsa.
“Apabila kita sudah mendapat kelulusan dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), kita terus bergerak dan projek ini akan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan kos keseluruhannya adalah RM431 ribu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Tapak Projek mengenai cadangan naik taraf dan penurapan semula empat gelanggang tenis di SMK Tabuan Jaya, semalam.
Mengulas lanjut, Snowdan berkata gelanggang tenis ini kelak akan digunakan sebagai hub zon selatan bagi mencungkil dan mencari bakat pemain tenis.
Menurutnya untuk zon selatan setakat ini, Sarawak Lawn Tennis Association (SLTA) telah mempunyai 18 pemain tenis yang dilatih yang mana enam daripada mereka adalah dari kawasan Balai Ringin sekali gus menunjukkan atlet luar bandar juga berminat dalam bidang sukan berkenaan.
“Jika dilihat sukan tenis juga dapat menarik minat atlet di luar bandar, jadi saya rasa amat bangga dan ini merupakan satu pencapaian kerana sukan ini seperti tenpin boling juga.
“Bagaimanapun, kita memerlukan hub ini untuk mencari bakat dan pada masa sama SLTA menawarkan bantuan mencari bakat dan menggunakan tempat ini.
“Oleh sebab itu, kita memerlukan tempat ini dinaik taraf segera,” katanya lagi.
Sementara itu, Presiden Sarawak Lawn Tennis Association (SLTA) Dato Patrick Liew berkata, objektif utama persatuan adalah mempromosikan tenis sebagai sukan selain membantu atlet pelajar luar bandar dengan peluang mengambil bahagian dalam sesi akademik dan latihan tenis.
“Sejak 2015, kita berkerjasama dengan sekolah sukan dan telah melahirkan ramai pemain yang mewakili negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) selain membantu mereka melanjutkan pelajaran.
“Justeru, pada masa ini dua pelajar telah diterima masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT). Kita dapat merasakan bahawa sukan tenis adalah sebagai platform yang dapat memberi peluang kepada pelajar luar bandar didedahkan kepada pendidikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar lebih ramai pelajar cemerlang dalam sukan dan juga berjaya dalam pelajaran mereka.
Turut hadir Presiden Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee dan Pengarah Casumi Sports & Equipment Sdn Bhd Chai Poh Fatt.
Oleh JEAKQLEYN YACHO