KUCHING, 18 November: Polis Padawan menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian lima panel pagar aluminium dari sebuah rumah di kawasan perumahan Jalan Matang-Batu Kawa.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William berkata, suspek ditahan kira-kira 9.40 malam di kawasan perumahan yang sama, semalam.
Beliau berkata, pihak polis telah mengesan satu hantaran di Facebook berhubung kejadian kecurian berkenaan, yang kemudian membawa kepada siasatan lanjut.
Pengadu mendapati kira-kira 12.00 tengah hari kelmarin bahawa lima panel pagar aluminium yang masih terpasang pada tiang pagar hadapan rumahnya telah hilang dan dipercayai dicuri.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah menjalankan siasatan serta usaha mengesan suspek sebelum berjaya menahan lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Barry berkata, suspek dijadual dibawa ke Mahkamah Kuching hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Susulan kejadian yang tular di media sosial itu, Barry mengesahkan bahawa suspek telah berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan langkah keselamatan di kediaman masing-masing serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.
Katanya, IPD Padawan akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah demi menjamin keselamatan dan ketenteraman masyarakat.
Oleh Connie Chieng




