JKR pantau 125 projek bernilai RM12.38 bilion di Sarawak

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan. Foto Bernama

KUCHING, 18 November: Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau pelaksanaan 125 projek pembangunan fizikal dan kerja penyelenggaraan bernilai keseluruhan RM12.38 bilion di Sarawak.

Daripada jumlah itu, sebanyak 99 projek pembangunan fizikal melibatkan kos RM12.17 bilion, manakala 26 projek penyelenggaraan, pemulihan, ubah suai dan naik taraf melibatkan peruntukan RM206.27 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pemantauan berterusan penting bagi memastikan setiap peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum dan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.

Perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 4 Tahun 2026 yang dipengerusikan beliau di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Bagi projek pembangunan fizikal di Sarawak, sebanyak 35 projek berada dalam fasa pembinaan, 36 projek masih dalam fasa prapembinaan, tiga projek melibatkan kerja awalan, manakala 25 projek telah siap dan berada dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP).

Daripada 35 projek dalam fasa pembinaan itu, satu telah berjaya disiapkan, menjadikan baki 34 projek masih dalam pelaksanaan setakat 18 November 2026.

Sementara itu, daripada lima projek yang dikategorikan sebagai projek sakit di Sarawak, satu telah berjaya disiapkan, manakala empat lagi masih dalam kategori berkenaan.

Di peringkat nasional, sebanyak 2,376 projek pembangunan bernilai RM132.51 bilion berada di bawah pemantauan JKR sehingga 30 Oktober 2026. Daripada jumlah itu, 880 projek bernilai RM51.75 bilion berada dalam fasa pembinaan.

Daripada 880 projek berkenaan, sebanyak 272 projek mendahului jadual, 311 mengikut jadual, 259 mengalami kelewatan, manakala 38 dikategorikan sebagai projek sakit.

Bagaimanapun, hasil pemantauan dan pelaksanaan langkah intervensi, jumlah projek sakit berjaya dikurangkan kepada 26 projek atau 2.97 peratus sehingga 16 November 2026.

Analisis terhadap 26 projek sakit itu mendapati 81 peratus daripada kekerapan punca kelewatan berpunca daripada prestasi kontraktor, manakala 19 peratus lagi disebabkan faktor lain.

Antara isu yang dikenal pasti termasuk kekurangan tenaga kerja, kelemahan pengurusan dalaman kontraktor, perancangan kerja yang tidak berkesan, masalah aliran kewangan serta kelemahan pengurusan bahan binaan.

Bagi menangani masalah itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR mempergiat pemantauan kemajuan fizikal, pelaksanaan pelan pemulihan, penilaian keupayaan kontraktor serta penyelarasan penyelesaian isu bersama kementerian pelanggan dan agensi berkaitan.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 18 projek pembangunan baharu di Sarawak dengan anggaran kos keseluruhan RM1.14 bilion dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Rolling Plan Kedua (RP2) bagi 2027.

Daripada jumlah itu, 14 projek melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), dua projek di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), manakala masing-masing satu projek di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.

Projek berkenaan merangkumi pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan dan keselamatan bagi memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan awam.

Selain itu, sebanyak 36 projek bernilai RM5.61 bilion yang masih dalam fasa prapembinaan turut diberi perhatian bagi memastikan proses perancangan, reka bentuk, kelulusan, perolehan dan penyediaan tapak dapat diselesaikan sebelum kerja pembinaan dimulakan.

KKR akan terus memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, JKR dan agensi berkaitan bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, berkualiti serta memberi manfaat kepada rakyat.