MUKAH, 17 November: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 40 tahun yang disyaki menceroboh sebuah rumah sewa di Jalan Desa Mawar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Bin Alias berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) selepas menerima maklumat daripada kaunter aduan Balai Polis Mukah berhubung kehadiran seorang lelaki tidak dikenali di dalam rumah berkenaan.
“Setibanya di lokasi, anggota polis mendapati rumah tersebut tidak berkunci sebelum memasuki kediaman itu dan menemui serta menahan seorang lelaki di dalam sebuah bilik.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mengaku memasuki rumah berkenaan untuk berehat.

Rizal berkata, pemilik rumah yang berada di Kuching turut memaklumkan bahawa beliau tidak mengenali lelaki berkenaan dan tidak pernah memberikan kebenaran kepadanya untuk berada di dalam rumah tersebut.
Suspek direman selama tiga hari sehingga 20 November 2026 bagi membantu siasatan. Polis turut menjalankan semakan rekod keluar masuk suspek dengan Jabatan Imigresen, selain merakam percakapan saksi dan anggota polis yang terlibat.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kehadiran individu mencurigakan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Oleh Adibfahmy




