Lelaki 29 tahun positif dua jenis dadah ditahan dalam Ops Bersepadu

Facebook
WhatsApp
PENAGIH dadah telah ditahan pihak polis dalam operasi bersepadu. Foto IPD Meradong

BINTANGOR, 17 November: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dadah ditahan polis selepas didapati positif dua jenis dadah dalam operasi bersepadu.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, suspek ditahan kira-kira 11.55 pagi kelmarin oleh sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong yang menjalankan Ops Bersepadu.

Katanya, lelaki tempatan tersebut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan dadah sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan jenayah dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan bahawa pihak polis memandang serius kegiatan penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat.

Sehubungan dengan itu, Tansli menyeru masyarakat supaya terus memberikan kerjasama kepada pihak polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222 bagi membantu usaha membanteras kegiatan tersebut.

Oleh Earl Anek