PILIHAN Raya Negeri Sarawak ke-13 memperlihatkan paradoks politik. Gabungan Parti Sarawak (GPS) memasuki gelanggang dengan kelebihan setelah memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri pada 2021.
Namun, dominasi tidak menjamin keharmonian dalaman. Ketika cabaran pembangkang relatif terkawal, persaingan antara parti komponen boleh menjadi ujian rumit.
Pertindihan tuntutan Bawang Assan dan Engkilili menunjukkan kekuatan gabungan tidak sekadar diukur melalui jumlah kerusi, tetapi kematangannya mengurus perbezaan.
Pertikaian kedua-dua kerusi melibatkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), dua komponen GPS. SUPP menganggap Bawang Assan dan Engkilili sebagai kawasan tradisinya, manakala PDP mempunyai alasan untuk mempertahankan kedudukan penyandang.
Wong Soon Koh di Bawang Assan dan Johnical Rayong Ngipa di Engkilili menyertai PDP susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 2024. Peralihan ini menjadikan persaingan antara parti sebagai rundingan sensitif dalam gabungan yang sama.
Sejarah Politik
Di Bawang Assan, sejarah politik setempat menjadikan tuntutan tersebut lebih kompleks. Wong memenangi kerusi berkenaan atas tiket PSB pada 2021 dengan majoriti 913 undi, menewaskan calon GPS-SUPP.
Pengaruhnya yang berakar panjang memberi PDP alasan menekankan kesinambungan perkhidmatan, sedangkan SUPP berpandangan kerusi itu perlu dikembalikan kepada jentera asalnya.

Nama Kevin Lau dikaitkan dengan SUPP dan Joshua Ting disebut dalam percaturan PDP. Kevin Lau Kor Jie (SUPP) ialah Ketua Pemuda SUPP Pusat dan Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan. Beliau telah diketengahkan sebagai calon pilihan SUPP sejak Julai 2026.
Pada 2 November, kepimpinan SUPP di Sibu sekali lagi menyuarakan hasrat supaya beliau dipilih mewakili GPS manakala Joshua Ting Fu Ying (PDP) ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dan pemimpin PDP.
Pada 4 November, Pemuda PDP secara terbuka menyatakan sokongan terhadap pencalonannya di Bawang Assan. Nama mereka telah dicadangkan atau disokong, tetapi itu belum bermaksud kedua-duanya telah diumumkan secara rasmi sebagai calon GPS.
Engkilili pula mempunyai keunikan tersendiri. Pengaruh jaringan masyarakat Iban, hubungan peribadi dengan pemimpin tempatan dan kesetiaan akar umbi boleh menjadi lebih menentukan daripada label parti.
Perselisihan itu bukan semata-mata pertarungan antara ibu pejabat parti. Pilihan pengundi mungkin terbentuk melalui pengalaman mereka berurusan dengan wakil rakyat, keupayaan menyelesaikan masalah setempat dan persepsi terhadap penghormatan yang diberikan kepada komuniti masing-masing.
Bahaya terbesar kepada GPS bukan semestinya kekuatan pembangkang, sebaliknya keretakan dalaman yang membuka ruang kepada kejutan pilihan raya.

Calon rasmi memperoleh lambang gabungan, tetapi belum tentu kesetiaan seluruh jentera. Sekiranya cawangan yang kecewa memperlahankan kempen, penyokong melakukan undi protes atau muncul calon bebas, kelebihan besar boleh menyusut.
Dalam pertandingan yang ditentukan oleh pergerakan undi kecil, sabotaj senyap kadangkala lebih merosakkan berbanding serangan terbuka pihak lawan.
Ruang Dan Peluang
Namun, pertindihan ini juga mengandungi peluang. Penyertaan bekas pemimpin PSB dalam PDP berpotensi menggabungkan jaringan politik yang sebelumnya saling bersaing.
Jika diurus dengan bijaksana, GPS bukan sahaja mengurangkan perpecahan undi, malah dapat memperluas sokongan melalui kerjasama antara jentera lama dan baharu. Persoalannya sama ada rundingan membina kekuatan sebenar, atau sekadar kompromi elit yang gagal diterjemahkan di pusat daerah mengundi.
Dalam politik demokrasi, sejarah sesebuah parti ialah sumber legitimasi, bukannya hak pemilikan kekal terhadap kerusi. SUPP berhak mengemukakan tuntutan berdasarkan rekod dan kehadirannya, begitu juga PDP berhak menampilkan kelebihan penyandang.
Tetapi pengundi tidak terikat dengan pembahagian wilayah pengaruh antara pemimpin. Kerusi Dewan Undangan Negeri bukan harta pusaka organisasi. Ia merupakan amanah awam yang perlu dipertahankan melalui prestasi, integriti dan keupayaan memenuhi keperluan penduduk yang sentiasa berubah.
Kelebihan Penyandang
Begitu juga, kelebihan penyandang tidak patut menjadi jaminan pencalonan automatik. Tempoh perkhidmatan panjang mempunyai nilai apabila disertai keberkesanan menyelesaikan masalah, kesediaan mendengar kritikan dan kemampuan melahirkan kepimpinan pelapis.
Tanpa pembaharuan, pengalaman mudah menjadi retorik nostalgia. Dalam menilai calon boleh menang, GPS perlu membezakan pengaruh peribadi, kekuatan organisasi dan penerimaan pengundi.

Ketiga-tiga unsur ini berkait, tetapi tidak semestinya bergerak seiring, khususnya apabila generasi pengundi dan aspirasi masyarakat berubah.
Sarawak pernah menggunakan formula calon langsung pada 2016 di bawah kepimpinan Allahyarham Adenan Satem, apabila 11 daripada 13 calon langsung Barisan Nasional memenangi kerusi.
Pengalaman ini membuktikan penyelesaian kreatif kadangkala diperlukan untuk meredakan pertikaian parti. Bagaimanapun, formula lama tidak wajar disalin secara mekanikal. Struktur GPS kini mempunyai keperluan tersendiri kerana SUPP dan PDP ialah komponen rasmi yang maruah, kedudukan serta kerjasamanya harus dipelihara.
Kuasa Pengerusi GPS
Penyerahan mandat pemilihan calon kepada Pengerusi GPS, Abang Johari Tun Openg, memperlihatkan pengiktirafan terhadap kepimpinan bersama. Namun, kuasa membuat keputusan tidak bererti kebebasan mengabaikan sensitiviti parti.
Kepimpinan yang matang mesti mendengar hujah semua pihak, menetapkan asas penilaian yang objektif dan menjelaskan keputusan tanpa memperlekeh pihak yang tidak terpilih.
Perancangan pengumuman senarai calon pada 25 November menjadikan tempoh rundingan ini penting untuk mengelakkan pertikaian berlarutan sehingga menjejaskan persediaan di lapangan.
Calon boleh menang juga tidak harus ditentukan semata-mata oleh populariti atau kesetiaan kepada pucuk pimpinan. GPS perlu mengambil kira rekod perkhidmatan, integriti, penerimaan antara etnik, penguasaan isu pembangunan, kebolehan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan keupayaan membina pelapis.
Penilaian yang kukuh memerlukan maklumat akar umbi yang tepat, bukannya keyakinan berlebihan berdasarkan keputusan terdahulu. Lebih utama, keputusan memilih calon perlu disertai strategi menyatukan penyokong yang berlainan kecenderungan.
Di sinilah tugas selepas pencalonan menjadi sama penting dengan keputusan pencalonan itu sendiri. Pemimpin yang tidak dipilih tidak boleh sekadar diminta menyatakan sokongan di hadapan kamera.
Mereka perlu diberikan peranan bermakna dalam kempen, sementara kepimpinan bahagian dan cawangan digerakkan untuk memulihkan hubungan. Jika kekecewaan dibiarkan, kerjasama menjadi kosmetik.
Sebaliknya, pendekatan yang menghormati maruah semua pihak boleh menukarkan kekecewaan menjadi disiplin kolektif.
Peranan Pembangkang
Cabaran pembangkang tetap perlu dinilai. DAP dijangka mungkin menumpukan sumber kepada Pelawan dan Bukit Assek, bukannya Bawang Assan, boleh mengurangkan kemungkinan kejutan di situ.
Namun, ketiadaan cabaran pembangkang yang besar bukan alasan untuk memandang ringan keresahan dalaman. GPS tidak boleh mengukur keselamatan kerusi hanya daripada kelemahan lawan; ketidakpuasan penyokong sendiri boleh menjejaskan keluar mengundi dan legitimasi keputusan.
Lebih luas, GPS membina kekuatannya berasaskan kestabilan, kepimpinan tempatan dan keupayaan mempertahankan kepentingan Sarawak dalam hubungan dengan Putrajaya.
Naratif ini mempunyai tarikan, terutama apabila rakyat mahu kerajaan negeri yang mampu berunding secara berwibawa. Namun, kestabilan perlu dibuktikan melalui pembaharuan dasar dan kecekapan pentadbiran.
Dominasi yang tidak disertai kesediaan mendengar akhirnya boleh berubah menjadi rasa terlalu selesa dengan kuasa.
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menyediakan ukuran penting terhadap mandat tersebut. Sehingga Oktober 2026, kerajaan melaporkan 16 daripada 29 perkara dalam kerangka pemantauan pelaksanaan MA63 telah diselesaikan sepenuhnya.
Kemajuan ini wajar diiktiraf, tetapi baki urusan memerlukan ketekunan rundingan perlembagaan, pembahagian kuasa, keupayaan kewangan dan kesiapsiagaan pentadbiran. Pencapaian MA63 tidak seharusnya menjadi slogan kempen semata-mata; nilainya perlu dirasai melalui perubahan dalam kehidupan rakyat.
Kemahuan Rakyat Perlu Disantuni
Bagi masyarakat bandar, luar bandar dan pedalaman, kejayaan politik akhirnya diukur melalui akses kepada pendidikan, kesihatan, pekerjaan, jalan raya, kemudahan asas dan peluang ekonomi.
Di sinilah pemilihan calon berkait langsung dengan agenda pembangunan. Wakil rakyat bukan sekadar lambang gabungan, tetapi penghubung antara dasar kerajaan dengan pengalaman seharian penduduk.
Calon terbaik ialah mereka yang mampu menukar aspirasi autonomi kepada penyelesaian konkrit di kampung, rumah panjang dan bandar.
Akhirnya, Bawang Assan dan Engkilili ialah cermin kecil kepada persoalan besar tentang masa depan GPS. Mampukah gabungan yang dominan mengurus persaingan tanpa meretakkan kepercayaan, memilih calon tanpa menafikan maruah parti dan mengekalkan kestabilan tanpa mengabaikan pembaharuan?
Bagi Abang Johari, ujian sebenar bukan membuktikan siapa lebih berkuasa, tetapi bagaimana autoriti digunakan untuk menyatukan kepentingan yang berbeza. Kemenangan paling bermakna bukan apabila SUPP mengatasi PDP atau sebaliknya, tetapi apabila kepentingan rakyat mengatasi perebutan kerusi.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.




