Dua juta pemilih, 14 hari kempen: Demokrasi Sarawak memasuki babak baharu

Facebook
WhatsApp

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 12 Disember 2026 membuka suatu babak penting dalam perjalanan demokrasi negeri ini.

Pertaruhan yang perlu diberi perhatian bukan semata-mata keputusan di peti undi, tetapi perubahan besar pada kelompok warganegara yang berhak menentukan keputusan tersebut.

Dengan 2,058,781 pemilih berdaftar, pilihan raya kali ini berlangsung dalam suasana politikyang jauh berbeza daripada lima tahun lalu. Perubahan skala penyertaan ini menuntut cara baharu untuk memahami pengundi, kempen dan tanggungjawab institusi pilihan raya.

Pada 2021, Sarawak mempunyai 1,252,014 pemilih berdaftar. Pertambahan lebih 806,000 orang menjelang 2026, iaitu sekitar 64 peratus, bukan sekadar pertumbuhan angka.

Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik memperluas keanggotaan politik kepada generasi yang sebelum ini belum berpeluang mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri.

Namun, kemasukan nama ke dalam daftar pemilih tidak semestinya bermaksud kemasukan suara ke dalam perbincangan dasar. Hak mengundi hanyalah pintu masuk kepada kewarganegaraan demokratik yang bermakna.

Perubahan demografi

Generasi baharu pemilih Sarawak tidak wajar dianggap sebuah kelompok yang seragam. Pengundi muda di Kuching, Miri atau Sibu mungkin berhadapan pengalaman kehidupan yang berlainan daripada mereka di kawasan penempatansungai, pedalaman dan pulau.

Ada yang memiliki akses pendidikan tinggi serta pekerjaan digital, sementara sebahagian lain berdepan kekurangan kemudahan asas, pengangkutan dan peluang ekonomi.

Keutamaan golongan ini turut berubah. Peluang mendapatkan pekerjaan berkualiti, upah setimpal, kemampuan memiliki rumah, kos sara hidup dan mobiliti sosial menjadi ukuran mereka.

Mereka mungkin menghargai tradisi keluarga, namun penghargaan tersebut tidak menutup ruang untuk menilai prestasi secara kritis. Pengundi kali pertama memerlukan alasan yang jelas mengapa suatu dasar patut disokong.

Kesetiaan politik tidak boleh terus diandaikan sebagai warisan yang berpindah tanpa soal daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Tempoh kempen

Dalam konteks ini, keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh kempen selama 14 hari merupakan perkembangan yang wajar diperhatikan.

Penamaan calon berlangsung pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember, sebelum hari pengundian pada 12 Disember. Tempoh tersebut lebih panjang daripada 12 hari pada dua pilihan raya negeri terdahulu.

Namun, keberkesanannya tidak seharusnya diukur dengan panjang kalendar semata-mata. Persoalan sebenar ialah sama ada tempoh tambahan meningkatkan peluang rakyat memperoleh maklumat dan mempertimbangkan pilihan secara bebas.

Geografi Sarawak menjadikan persoalan masa sangat penting. Kempen di pusat bandar dapat diatur melalui jaringan jalan raya dan komunikasi yang lebih mudah.

Sebaliknya, sesetengah kawasan luar bandar memerlukan perjalanan melalui sungai, jalan tidak berturap atau penerbangan ke kawasan terpencil. Tambahan dua hari mungkin memberikan ruang untuk pertemuan bersemuka yang sebelum ini sukar dilaksanakan.

Namun, tanpa perancangan yang baik, masa tambahan hanya membesarkan belanja kempen, bukan memperluas dialog dengan masyarakat yang jarang mendapat perhatian.

Ketidaksamaan upaya jentera

Keadilan pilihan raya juga tidak berlaku secara automatik apabila semua calon diberikan bilangan hari yang sama. Parti yang memiliki organisasi mapan, jentera besar dan kemampuan kewangan mempunyai kelebihan untuk mengisi ruang kempen secara meluas.

Calon baharu dan kumpulan yang mempunyai sumber terhad pula perlu berusaha lebih keras untuk dikenali. Oleh itu, SPR dan pihak berkaitan mesti melaksanakan pemantauan peraturan secara konsisten, termasuk penggunaan sumber, bahan kempen dan tatacara komunikasi politik.

Kempen yang lebih panjang seharusnya menjadi peluang membincangkan dasar secara mendalam. Rakyat memerlukan penjelasan yang boleh dinilai tentang pendidikan, kesihatan, pekerjaan, pengangkutan dan capaian internet, bukannya persaingan slogan yang sentiasa berubah.

Pertemuan calon dengan masyarakat patut menghasilkan maklum balas dua hala, calon menjelaskan rancangan, penduduk menyatakan keutamaan, dan setiap janji dinilai dari segi kemampuan pelaksanaan.

Proses seperti ini mengubah kempen daripada acara memperagakan kekuatan parti kepada medan pendidikan sivik yang memperkukuh kebijaksanaan pengundi.

Ledakan maklumat

Cabaran lain ialah ledakan maklumat digital. Media sosial mempercepat penyebaran berita, tetapi turut memudahkan khabar angin, suntingan mengelirukan dan serangan peribadi.

Pengundi muda mungkin lebih cekap menggunakan teknologi, namun kecekapan teknikal tidak semestinya menjamin kebolehan mengenal pasti manipulasi.

Literasi media perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama sekolah, universiti, masyarakat sivil, institusi pilihan raya dan organisasi berita. Parti politik pula sewajarnya mengutamakan hujah yang dapat diperiksa, bukannya mengambil kesempatan daripada kemarahan atau prasangka untuk mendapatkan perhatian sementara.

Perubahan daftar pemilih juga membangkitkan persoalan penyertaan sebenar. Pada PRN 2021, hanya 60.67 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab mengundi, berbanding sekitar 70 peratus pada 2016.

Pandemik COVID-19 memberikan konteks penting kepada penurunan tersebut. Bagaimanapun, tidak semua yang tidak mengundi mempunyai alasan serupa.

Ada yang berdepan kekangan perjalanan, ada yang tidak merasakan pertandingan cukup relevan, dan ada yang mungkin tidak mempunyai maklumat mencukupi tentang proses pengundian.

Bagi rakyat Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung, Sabah atau luar negara, keterlibatan politik sering dipengaruhi kos perjalanan dan kelulusan cuti.

Tarikh pengundian pada 12 Disember, tidak jauh daripada sambutan Krismas, mungkin dapat diselaraskan dengan rancangan sesetengah keluarga untuk pulang.

Namun, hubungan ini tidak semestinya meningkatkan peratusan keluar mengundi secara besar-besaran. Harga tiket, jarak kampung halaman, keadaan cuaca serta jadual pekerjaan masih menjadi kekangan.

Kempen menggalakkan pengundian perlu disertai maklumat praktikal mengenai lokasi, saluran dan kaedah pengundian yang tersedia.

Kepelbagaian santunan

Perhatian khusus patut diberikan kepada masyarakat pedalaman, warga emas, orang kurang upaya dan pengundi yang pertama kali hadir ke pusat mengundi.

Masalah mereka bukan semestinya ketiadaan kesedaran sivik, tetapi kekurangan akses, bantuan maklumat atau prasarana yang mesra pengguna.

Pendidikan pengundi melalui bahasa yang difahami masyarakat setempat serta saluran komunikasi komuniti boleh mengurangkan jurang tersebut. Di negeri yang kepelbagaian bahasa dan bentuk penempatannya begitu luas, pendekatan seragam dari pusat sering tidak mencukupi untuk mencapai semua kumpulan secara berkesan.

SPR mengumumkan penyediaan 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 saluran. Kapasiti ini menunjukkan besarnya cabaran pentadbiran untuk mengendalikan daftar pemilih yang berkembang.

Namun, ukuran keberhasilan bukan bilangan pusat semata-mata. Kelancaran semakan, ketepatan maklumat, kemudahan akses dan keyakinan terhadap kerahsiaan undi perlu menjadi keutamaan.

Teknologi baharu bagi merekod kehadiran boleh membantu kecekapan, tetapi penggunaannya perlu disertai komunikasi jelas agar pengundi memahami fungsi serta batasnya.

Rumusan

Maka PRN Sarawak 2026 harus dilihat sebagai ujian keterangkuman demokrasi. Dua juta nama dalam daftar pemilih membayangkan potensi suara rakyat yang besar.

Kempen 14 hari pula menyediakan ruang untuk pelbagai suara  didengar. Namun, kedua-duanya tidak menghasilkan kematangan secara automatik.

Kejayaan sebenar tercapai apabila lebih ramai rakyat mampu mengundi tanpa halangan yang tidak munasabah, memperoleh maklumat yang dipercayai dan membuat keputusan berdasarkan masa depan yang ingin dibina.

Itulah demokrasi yang bukan sekadar bertambah besar, tetapi semakin bermakna.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.

Sarawak Gazette menyimpan memori koleksi

TIDAK dapat dinafikan bahawa Sarawak Gazette merupakan surat khabar terawal di Sarawak yang merakam banyak peristiwa sejarah di negeri ini.

Menyantuni bidang kuasa Pusat dan Sarawak

PERSAINGAN bidang kuasa petroleum antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak bukan sekadar pertikaian undang-undang atau perebutan hasil bumi, tetapi ujian terhadap