Kerajaan Sarawak buka peluang memperkukuh sektor pelancongan Miri

Facebook
WhatsApp
SEBASTIAN TING bertemu dengan wakil persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan.

MIRI, 17 November: Persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Miri digalakkan memanfaatkan sepenuhnya geran serta kemudahan sokongan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak bagi membangunkan program berkaitan pelancongan, warisan, seni dan kebudayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, peluang pembiayaan yang ditawarkan kerajaan mampu membantu persatuan dan NGO melaksanakan inisiatif bermakna untuk mempromosikan keunikan warisan budaya, produk tempatan serta tarikan pelancongan di Miri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Jawatankuasa Divisional Tourism Task Group (DTTG) Miri bersama persatuan dan NGO Bahagian Miri yang diadakan di Hotel Imperial Palace, di sini, hari ini.

Ting, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan), berkata sesi berkenaan memberikan maklumat berguna kepada peserta mengenai geran dan bentuk sokongan yang disediakan oleh kerajaan.

Antaranya termasuk Geran Sokongan Acara, Festival, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dana Pemudah Cara Warisan dan Seni Sarawak, pembangunan Laluan Warisan Miri serta perkara berkaitan Harta Intelek (IP) dan Petunjuk Geografi (GI).

Beliau berharap peserta dapat menterjemahkan pengetahuan yang diperoleh kepada program dan inisiatif praktikal bagi mengetengahkan identiti budaya serta potensi pelancongan Bahagian Miri.

“Pembangunan pelancongan merupakan tanggungjawab bersama. Walaupun kerajaan menyediakan dasar, kemudahan dan sokongan kewangan, penglibatan aktif persatuan, NGO dan komuniti tempatan juga sama penting bagi memastikan potensi pelancongan dibangunkan secara mampan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Ting turut menggalakkan persatuan dan NGO supaya terus menjalin hubungan rapat dengan Pejabat Residen Miri, Pejabat Daerah dan agensi berkaitan bagi mendapatkan panduan serta sokongan dalam merancang aktiviti masing-masing.

Katanya, kerjasama yang terjalin menerusi sesi libat urus itu perlu diteruskan melalui perkongsian maklumat, penyelarasan program dan pelaksanaan inisiatif bersama.

Beliau berharap sesi berkenaan menjadi titik permulaan kepada hubungan lebih erat serta usaha berterusan untuk memperkukuh sektor pelancongan di Bahagian Miri.

Ting turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen Miri, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), persatuan serta NGO atas sumbangan masing-masing dalam menjayakan program berkenaan.

Oleh Connie Chieng