Marapati gabungkan lakonan pentas dan sinematik

Facebook
WhatsApp
POSTER pementasan teater muzikal Marapati yang mengangkat legenda Santubong menerusi konsep Hibrid Teater Sinematik pada 4 Disember ini di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

KUCHING, 17 November: Gabungan lakonan secara langsung di pentas dengan adegan sinematik menerusi paparan skrin LED menjadi kelainan dalam pementasan teater muzikal Marapati yang dijadualkan berlangsung pada 4 Disember ini.

Produksi Persatuan Anak Seni Sarawak (Anak Seni) itu akan dipentaskan pada 8.00 malam di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.

Marapati mengangkat legenda Santubong menerusi kisah seorang insan yang dipilih takdir untuk memikul tanggungjawab besar terhadap sebuah tamadun, dengan konflik yang merangkumi persahabatan, percintaan, pengkhianatan, dendam, pengorbanan dan peperangan.

Keunikan produksi itu terletak pada konsep Hibrid Teater Sinematik yang menggabungkan lakonan secara langsung di pentas dengan adegan yang dirakam lebih awal sebelum dipaparkan menerusi skrin LED.

Pendekatan itu membolehkan pelakon di pentas berinteraksi dengan watak dan adegan yang dipaparkan pada skrin, sekali gus menggabungkan elemen teater dan sinematografi dalam satu persembahan.

Idea berkenaan diterajui pengarah merangkap penulis skrip, Jalot Jeman, yang berpengalaman dalam bidang lakonan pentas dan layar sejak 1998.

Beliau pernah menerima pengiktirafan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pengarah Terbaik, termasuk meraih pengiktirafan berkenaan selama dua tahun berturut-turut.

Selain elemen lakonan, Marapati turut menampilkan sembilan lagu ciptaan khas, koreografi silat kontemporari serta gabungan muzik tradisional dan moden.

Produksi itu turut memberi ruang kepada pembangunan bakat baharu dalam bidang seni lakon di Sarawak apabila majoriti pelakonnya terdiri daripada wajah baharu yang digandingkan dengan penggiat teater berpengalaman.

Penglibatan itu diharap dapat membantu pelakon baharu mengembangkan potensi, meningkatkan keyakinan diri dan meneroka peluang dalam industri seni persembahan, termasuk produksi televisyen.

Marapati dilaksanakan dengan kerjasama Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, DBP dan Majlis Seni Sarawak, selain mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP). Orang ramai, khususnya peminat seni persembahan, golongan belia dan pelajar, dijemput menyaksikan pementasan berkenaan yang turut menawarkan cabutan tiket bertuah dengan pelbagai hadiah sumbangan penaja.