DEBAK, 17 November: Penemuan seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 3.7 meter di kawasan kandang ayam milik seorang penduduk mencetuskan kebimbangan sebelum berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak hari ini.
Menurut kenyataan APM Daerah Debak, pihaknya menerima aduan daripada pengadu berhubung kehadiran reptilia berkenaan di kawasan kandang ayam miliknya.
Susulan aduan itu, seramai empat anggota APM Debak segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.
Setibanya di lokasi, anggota menjalankan pemeriksaan sebelum mengambil tindakan menangkap ular menggunakan peralatan dan kaedah bersesuaian bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan selamat.
Hasil tindakan pantas anggota APM, ular sawa batik berkenaan berjaya ditangkap tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
Kehadiran ular sepanjang 3.7 meter itu di kawasan kandang ayam sememangnya boleh mengundang risiko kepada penghuni kediaman serta haiwan ternakan sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Sehubungan itu, APM Debak menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menemui haiwan berbisa atau berbahaya di kawasan kediaman.
Orang awam turut disaran menghubungi pihak berkuasa dengan segera bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil demi menjamin keselamatan semua pihak.
Oleh Adi Safarman




