Empat lokasi tanah susur ancam laluan utama tujuh rumah panjang di Engkilili

Facebook
WhatsApp
PENDUDUK di tujuh buah rumah panjang berdepan risiko keselamatan susulan kejadian tanah susur di empat lokasi sepanjang Jalan Nibung ke Bunu Beging. Foto APM Lubok Antu

ENGKILILI, 17 November: Penduduk di tujuh rumah panjang yang melibatkan seramai 155 Ketua Isi Rumah (KIR) berdepan risiko keselamatan susulan kejadian tanah susur di empat lokasi sepanjang Jalan Nibung ke Bunu Beging, di sini, semalam.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana laluan berkenaan merupakan jalan perhubungan utama penduduk setempat untuk menjalankan urusan harian.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, seramai empat anggota telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan keselamatan.

Hasil pemeriksaan mendapati keadaan tanah di beberapa kawasan masih tidak stabil dan berpotensi mengalami pergerakan susulan, terutama sekiranya hujan berterusan.

Walaupun laluan berkenaan masih boleh digunakan dan tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan, keadaan itu tetap memerlukan perhatian serius bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sebagai langkah keselamatan, anggota APM memasang pita amaran di kawasan terjejas selain menasihati penduduk dan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.

APM turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya ketika menggunakan laluan utama yang terjejas akibat kejadian tanah susur.

Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi APM Lubok Antu menerusi talian 083-584639 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman