BETONG, 17 November: Pembinaan masa depan anak-anak tidak boleh digalas oleh institusi pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara keluarga, sekolah dan komuniti bagi melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kejayaan seseorang anak bermula daripada perhatian, kasih sayang dan didikan yang diberikan sejak peringkat awal kehidupan.
Menurutnya, keluarga merupakan institusi pertama yang membentuk sahsiah, disiplin, nilai murni dan keyakinan diri anak-anak sebelum mereka melangkah ke alam pendidikan formal.
“Setiap anak yang berjaya melangkah ke hadapan pada hari ini merupakan hasil daripada usaha dan perhatian yang diberikan sejak awal kehidupan mereka.
“Pembangunan seorang kanak-kanak tidak berlaku secara kebetulan. Ia bermula daripada keluarga yang memberikan kasih sayang dan perhatian, disokong oleh pendidikan yang berkualiti serta diperkukuh oleh komuniti yang prihatin terhadap kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Betong 2026 di Dewan Panglima Rentap, di sini, kelmarin.
Razi berkata, pendidikan awal kanak-kanak bukan sekadar memberi pendedahan kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira, malah berperanan membangunkan kemahiran sosial, komunikasi, kreativiti, penyelesaian masalah serta keyakinan diri.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SeDidik Sarawak, khususnya guru dan pengasuh yang komited melaksanakan tanggungjawab mendidik serta membentuk karakter kanak-kanak sejak usia muda.
Beliau turut menekankan kepentingan Program Young Writer yang menggalakkan budaya membaca, merangsang imaginasi dan pemikiran kreatif serta memberi ruang kepada kanak-kanak menyampaikan idea melalui penulisan.
Selain itu, penerbitan Buku Cerita Kanak-kanak dan Guru, Siri Merentasi Generasi SeDidik yang dilancarkan pada 5 November lalu disifatkan sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dan menghubungkan generasi melalui perkongsian pengalaman, ilmu serta nilai murni.
Dalam perkembangan berkaitan, SeDidik Sarawak turut merancang pembukaan TADIKA SeDidik Taman The Hills, Betong yang dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027.
Kemudahan itu diharap dapat memperluas akses pendidikan awal yang terancang, selamat dan berkualiti, selain membantu ibu bapa bekerja mengimbangi tanggungjawab kerjaya serta keluarga.
Razi turut menegaskan kepentingan Program TOY8 dalam usaha mengesan perkembangan kanak-kanak pada peringkat awal supaya keperluan sokongan dan intervensi bersesuaian dapat dikenal pasti serta dilaksanakan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada peluang pendidikan dan pembangunan hanya kerana keperluan perkembangan mereka tidak dikenal pasti lebih awal.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya terus memberikan perhatian, dorongan dan kasih sayang kepada anak-anak, selain terlibat secara aktif dalam perkembangan pembelajaran mereka.
“Anak-anak merupakan amanah dan aset paling berharga kepada negeri dan negara. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan mereka membesar dalam persekitaran yang penyayang, selamat dan menyokong perkembangan mereka secara menyeluruh,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada 70 graduan SeDidik Sarawak Zon Betong 2026 yang berjaya menamatkan satu fasa penting dalam pendidikan awal mereka.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi titik permulaan kepada perjalanan pendidikan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman




