KUCHING, 17 November: DAP Sarawak bakal kembali meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang selepas kali terakhir bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2006.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengesahkan parti itu akan bertanding di enam kerusi sekitar Kuching pada PRN Sarawak ke-13, termasuk Batu Lintang, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawa.
Ketika dihubungi Utusan Sarawak, beliau berkata Jawatankuasa Pemilihan Calon parti itu telah mengadakan mesyuarat semalam di pejabat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi membincangkan calon yang bakal diketengahkan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengumuman calon akan dibuat secara berperingkat mengikut kawasan masing-masing.
Pada PRN 2006, calon DAP, Voon Lee Shan berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chan Seng Khai untuk memenangi kerusi Batu Lintang.
Voon kini merupakan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Sementara itu, pada PRN Sarawak 2021, DAP hanya memenangi dua daripada 26 kerusi yang ditandinginya, iaitu Padungan menerusi Chong dan Pending menerusi Violet Yong Wui Wui.
Pencapaian itu merosot berbanding tujuh kerusi yang dimenangi parti berkenaan pada PRN 2016.
Antara kerusi yang tewas kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN 2021 ialah Kota Sentosa, manakala DAP turut tewas tipis di Pelawan dengan majoriti 100 undi dan Tanjung Batu dengan perbezaan 23 undi.
Chong berharap DAP dapat meningkatkan prestasinya pada pilihan raya akan datang bagi memperkukuh peranan parti itu dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Oleh Connie Chieng




