Wanita GPS perkasa kempen bersemuka, digital dekati pengundi PRN ke-13

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS PRN ke-13 di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 17 November: Pergerakan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memperkukuh strategi mendekati pengundi menerusi gabungan pendekatan bersemuka dan penggunaan teknologi digital bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, strategi kempen perlu disesuaikan mengikut profil, keadaan dan latar belakang pengundi di setiap kawasan bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pendekatan secara bersemuka, kunjungan dari rumah ke rumah dan aktiviti turun padang masih penting dalam membina hubungan dengan pengundi, manakala platform dalam talian dapat membantu meluaskan capaian kempen.

“Jentera perlu mengetahui profil pengundi di kawasan masing-masing dan menentukan kaedah yang sesuai, sama ada secara bersemuka, turun padang ataupun dalam talian.

“Jentera parti kita mempunyai pengalaman. Jadi, pengalaman lalu perlu digabungkan dengan penggunaan teknologi baharu bagi memastikan pengundi yang kita dekati keluar mengundi,” katanya.

SUASANA Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS PRN ke-13 yang berlangsung di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS PRN ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Fatimah berkata, jentera wanita GPS kini bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan pembahagian tugas sudah dibuat di peringkat cawangan dan ranting.

Katanya, antara keutamaan jentera ialah meningkatkan kadar keluar mengundi, memastikan sokongan terhadap GPS diterjemahkan melalui undi serta membantu gabungan itu memperoleh mandat lebih besar berbanding pilihan raya negeri lalu.

“Jentera wanita kami sudah bersedia sepenuhnya, sama ada di bilik gerakan peringkat cawangan mahupun ranting. Agihan tugas juga sudah diberikan dan difahami oleh ahli jentera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama antara semua sayap GPS, termasuk Wanita, Pemuda dan Belia, perlu diperkukuh bagi memastikan setiap kelompok pengundi didekati secara menyeluruh.

DATO Sri Fatimah Abdullah bersama Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan jentera Wanita GPS selepas majlis pelancaran.

Menurutnya, setiap sayap mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh digembleng sebagai satu pasukan, khususnya dalam mendekati pengundi muda dan mereka yang layak mengundi pada usia 18 tahun.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan yang dizahirkan melalui kata-kata sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui undi pada hari pengundian.

Pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 60.67 peratus.

Mengenai penggunaan satu logo pada PRN kali ini, Fatimah berkata GPS akan menggunakan satu logo bagi kesemua 82 calon yang bertanding di kerusi DUN Sarawak, seperti yang dimaklumkan Presiden GPS merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Oleh Shikin Mahmud