SALAM perkukuh kesalinghubungan digital Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Facebook
WhatsApp
PERTUKARAN Memorandum Persefahaman (MoU) antara Telekom Malaysia (TM) dengan Alcatel Submarine Networks (ASN) disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Bangunan Sultan Abdul Samad. Foto MCMC

CYBERJAYA, 17 November: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menetapkan TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM) sebagai pemberi perkhidmatan sejagat (universal service provider) untuk mereka bentuk, laksana dan kendalikan sistem Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Perbelanjaan modal projek bernilai RM2.7 bilion akan dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Sistem SALAM akan meningkatkan kapasiti sambungan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan digital yang lebih andal kepada komuniti, perniagaan dan kerajaan.

Sistem ini juga akan menyediakan laluan alternatif bagi trafik data, sekali gus mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami gangguan atau kerosakan.

Dengan jajaran sepanjang kira-kira 5,500 kilometer, sistem ini akan dilaksana oleh TM berasaskan teknologi kabel dasar laut Alcatel Submarine Networks (ASN).

Sistem ini akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat, memandangkan penggunaan kapasiti rangkaian kabel dasar laut sedia ada, yang telah beroperasi sejak 2017, kini mencecah kira-kira 85 peratus.

Sistem SALAM akan merangkumi 10 stesen pendaratan kabel dasar laut baharu, iaitu Cherating dan Sedili di Semenanjung Malaysia; Kuching, Sibu (Matu) dan Bintulu (Samalaju) di Sarawak; serta Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

Kapasiti tambahan ini akan menyokong peluasan jalur lebar dan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data, sekali gus menyediakan asas yang lebih kukuh untuk memperluas peluang digital, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Empat pasangan gentian optik akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara, termasuk infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber.

Pelaksanaan projek ini dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.

SALAM mencerminkan komitmen MCMC dalam memperkukuh infrastruktur digital Malaysia agar lebih banyak komuniti dan perniagaan dapat menikmati manfaat ekonomi digital.