Jumlah calon wanita GPS belum dimuktamadkan, tunggu keputusan Premier

Facebook
WhatsApp
KETUA Pergerakan Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS PRN ke-13 di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 17 November: Jumlah calon wanita yang bakal diketengahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada keputusan Premier Sarawak.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keputusan berhubung pemilihan calon dan pengagihan kerusi merupakan bidang kuasa Premier Sarawak, justeru pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi menerusi penyerahan watikah.

Beliau berkata, Pergerakan Wanita berharap lebih ramai wanita diberi peluang untuk menyumbang dalam kepimpinan dan pembangunan negeri, namun keputusan akhir perlu dihormati.

“Keputusan ada pada Premier. Kita tunggu watikah yang akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS PRN ke-13 di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penyertaan wanita sebagai calon, Fatimah berkata, golongan itu mempunyai perspektif dan kekuatan tersendiri yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

Menurutnya, wanita bukan sekadar berperanan sebagai penyokong atau jentera parti, malah merupakan rakan seperjuangan dalam usaha membangunkan Sarawak.

Katanya, sumbangan wanita dalam pelbagai bidang membuktikan kepentingan memberikan ruang kepada golongan itu untuk terus memainkan peranan dalam kepimpinan.

Pada Julai lalu, Fatimah dilaporkan berkata GPS ketika itu mempunyai empat wakil wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kesemuanya daripada PBB.

Mereka ialah Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Rosey Yunus, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Fatimah sendiri.

Beliau turut menyuarakan harapan agar parti komponen GPS lain mengetengahkan lebih ramai calon wanita pada PRN akan datang.

Bagaimanapun, Fatimah tidak menyatakan jumlah atau nama calon wanita yang dijangka bertanding pada PRN kali ini.

Beliau menegaskan bahawa Pergerakan Wanita PBB akan akur dengan keputusan kepimpinan tertinggi GPS berhubung pemilihan calon.

“Kita tidak boleh mendesak macam-macam. Wanita Sarawak ada cara tersendiri dan akhirnya terpulang kepada Premier. Kita akur kepada ketua, itu prinsip yang kita pegang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jentera wanita GPS sudah bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi menghadapi PRN-13.

Menurutnya, tumpuan jentera bukan sahaja untuk mendekati pengundi, malah memastikan sokongan yang diterima diterjemahkan kepada undi bagi membantu GPS memperoleh mandat lebih besar pada pilihan raya akan datang.

Oleh Shikin Mahmud