Pengundi muda perlu bijak menilai kepimpinan, maklumat menjelang PRN

Facebook
WhatsApp
KETUA Cawangan PBB N1 Opar, Datuk Willie Mongin ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen PBB Zon Selatan di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 15 November: Pengundi muda berusia 18 tahun ke atas diseru supaya membuat penilaian secara matang terhadap kepimpinan serta mendapatkan maklumat sahih sebelum menentukan pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N14 Batu Kawah, Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, golongan muda perlu lebih berhati-hati dalam menerima maklumat, khususnya yang tersebar menerusi platform media sosial seperti TikTok.

KETUA Cawangan PBB N14 Batu Kawah, Senator Dato Ahmad Ibrahim ketika ditemui media selepas menghadiri Konvensyen PBB Zon Selatan di Petra Jaya, hari ini.

Katanya, pengundi baharu tidak seharusnya mudah terpengaruh dengan khabar angin atau maklumat tidak sahih, sebaliknya perlu menyemak fakta melalui saluran rasmi.

“Fokus kita adalah untuk menyampaikan maklumat kepada golongan ini dan memastikan mereka benar-benar memahaminya.

“Jangan hanya mendengar cerita atau khabar angin, termasuk apa yang tersebar di TikTok. Sebaliknya, dengarlah fakta dan dapatkan maklumat yang sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Petra Jaya, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan kandungan yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), terutama bahan yang menyerupai wajah atau penampilan seseorang.

Sementara itu, Ketua Cawangan PBB N1 Opar, Datuk Willie Mongin berkata, golongan muda perlu menilai sendiri usaha dan pencapaian yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum membuat keputusan yang bakal mempengaruhi masa depan negeri.

Menurutnya, pembangunan yang dinikmati Sarawak ketika ini, termasuk peningkatan kualiti modal insan, tidak berlaku dengan sendirinya, sebaliknya hasil usaha dan komitmen kepimpinan.

“Saya menyeru kepada golongan anak muda supaya tidak mengorbankan masa depan kita.

“Kita boleh membuat penilaian berdasarkan aspek kepimpinan. Sekiranya kepimpinan itu baik, kita harus memberikan sokongan. Apa yang kita nikmati hari ini tidak akan berlaku dengan sendirinya tanpa usaha dan komitmen daripada kepimpinan GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Petra Jaya, hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu turut berharap golongan muda dapat menggunakan hak demokrasi secara bertanggungjawab serta membuat pilihan berdasarkan pertimbangan yang matang dan maklumat yang sewajarnya.

Oleh Adele Rissa & Shikin Mahmud