PRN: Tidak jadi calon, berilah sokongan pada calon terpilih, bukan alasan berhenti berjuang – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA , 15 November: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan supaya tidak menjadikan kegagalan terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 nanti sebagai alasan untuk berhenti berjuang, sebaliknya terus memberikan sokongan kepada parti.

Premier Sarawak merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekuatan parti tidak bergantung kepada individu tertentu, tetapi semangat kebersamaan dan kesediaan setiap ahli untuk terus menyokong perjuangan PBB.

“Walaupun tidak terpilih sebagai calon, kita perlu mempunyai semangat untuk menyokong calon lain yang mewakili PBB. Begitu juga apabila orang lain menjadi calon, kita perlu memberikan sokongan kepada mereka.

“Apa yang penting ialah memastikan parti kekal kuat, politik stabil dan pendapatan negeri mencukupi supaya Sarawak mampu berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, semangat berpasukan itu penting bagi memastikan parti terus kukuh dalam menghadapi PRN akan datang.

Dalam pada itu, beliau menyatakan hasrat untuk melihat GPS memenangi kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sarawak Ke-13.

“Pada pilihan raya kali ini, kita mahu sapu bersih 82 kerusi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti bahawa perjuangan PBB perlu diteruskan secara bersama tanpa mengira siapa yang dipilih untuk menjadi calon, kerana keutamaan adalah memastikan parti kekal kuat dan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

Mengulas mengenai hala tuju kepimpinan parti, Abang Johari turut menekankan kepentingan mengimbangi pengalaman pemimpin sedia ada dengan penyertaan generasi muda bagi memastikan kesinambungan perjuangan PBB.

Oleh Shahrul Qaizat