‘Sarawak berpotensi perkukuh keselamatan makanan negara’ – Fadillah

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof menyampaikan ucapan perasmian pada Program RISE 2026: Peningkatan Impak Menerusi Pemerkasaan Mampan di sebuah hotel, di Kuching, hari ini. Foto Nadya Victoria

KUCHING, 14 November: Sarawak mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pengukuhan keselamatan makanan negara menerusi pemanfaatan sumber tanah, kepelbagaian sektor pertanian, kekayaan biodiversiti serta pengetahuan masyarakat tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan pengeluaran makanan domestik, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi dan mewujudkan sumber pendapatan mampan kepada masyarakat setempat.

“Keselamatan makanan bukan sekadar isu pertanian, sebaliknya merupakan keutamaan pembangunan negara yang berkait rapat dengan kesejahteraan isi rumah, daya tahan ekonomi dan kestabilan komuniti.

“Justeru, kita perlu terus memperkukuh pengeluaran makanan domestik sambil membangunkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program RISE 2026: Peningkatan Impak Menerusi Pemerkasaan Mampan, program pembangunan keupayaan untuk Penyedia Penyelesaian Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) Sarawak, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Katanya, perkembangan global turut memperlihatkan betapa mudahnya rantaian bekalan makanan terjejas akibat gangguan luar, peningkatan kos pengeluaran serta cabaran berkaitan perubahan iklim.

RAKAM kenangan Datuk Amar Fadillah Yusof (tengah) bersama barisan tetamu kehormat dan peserta selepas merasmikan Program RISE 2026 sebuah hotel, di Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, usaha memperkukuh sektor makanan memerlukan lebih daripada sekadar peningkatan hasil pertanian, sebaliknya perlu disokong akses kepada pengetahuan dan kepakaran pertanian, teknologi bersesuaian, pembiayaan, infrastruktur serta pasaran.

Jelasnya, inisiatif keselamatan makanan yang diterajui komuniti amat penting kerana usaha berkenaan bukan sahaja meningkatkan pengeluaran makanan, malah turut membina pengetahuan, semangat kerjasama, keupayaan berdikari dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

“Apabila komuniti mempunyai pengetahuan serta keupayaan untuk menghasilkan, mengurus dan mengekalkan sumber makanan sendiri, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan hidup, malah lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan,” ujarnya. 

Beliau turut memuji usaha Penyedia Penyelesaian APPGM-SDG bersama komuniti rakan mereka dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan berasaskan masyarakat, termasuk inisiatif berkaitan keselamatan makanan.

Menurutnya, pengalaman yang dikongsi menerusi projek berkenaan membuktikan bahawa usaha memperkukuh keselamatan makanan bukan hanya bergantung kepada strategi di peringkat nasional, tetapi turut memerlukan penglibatan aktif, keupayaan dan kerjasama masyarakat di peringkat akar umbi.

Oleh Adele Rissa