BEIJING: Letupan gas di sebuah restoran di sebuah bandar besar China semalam, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan puluhan orang, lapor media negeri.
Rakaman dramatik daripada kamera kereta berdekatan yang diterbitkan oleh media negeri, menunjukkan kepulan asap dan debu besar meletus di jalan dengan orang ramai berlari menyelamatkan diri menuju ke tempat yang selamat.
Penyiar Negara, CCTV menunjukkan tingkap pecah dari beberapa bangunan di jalan yang dipenuhi debu dan serpihan di Shenyang, ibu kota Wilayah Liaoning di utara China.
Menurut laporan People Daily, pasukan penyelamat mendapati tiga orang terbunuh dan lebih daripada 30 cedera dan punca letupan sedang disiasat.
Ambulans dan jentera bomba berada di jalan setelah letupan ketika pekerja mengundurkan kereta yang musnah dan sebuah bas yang hancur dalam rakaman CCTV.
“Letupan itu berlaku pada pagi tadi (semalam) di kawasan kediaman yang dipenuhi dengan aktiviti perniagaan,” kata agensi berita rasmi Xinhua.
Sementara itu, kerja menyelamat masih dijalankan.
“Dalam siasatan awal, pasukan penyiasat melaporkan bahawa letupan berlaku di dalam bangunan komersial dan kawasan kediaman penduduk,” kata Pihak Berkuasa Kecemasan Liaoning dalam sebuah catatan media sosial.
Foto yang diterbitkan oleh Perkhidmatan Kecemasan Liaoning menunjukkan penyelamat dalam topi keselamatan yang dipenuhi debu letupan berkenaan.
Pada masa sama, pejalan kaki yang di kawasan kejadian turut menggoncang serpihan kaca dan serpihan daripada pakaian mereka.
Letupan gas sering berlaku di China kerana standard keselamatan dan penguatkuasaan yang lemah.
Terdahulu, letupan turut berlaku pada Jun lalu yang mengorbankan 25 orang dan mencederakan lebih daripada 100 yang lain ketika saluran gas meletup di pekarangan kediaman di wilayah tengah Hubei, China.
Dalam pada itu, lapan orang, termasuk pengurus besar syarikat yang memiliki paip gas, kemudian ditahan setelah pihak berkuasa mendapati amalan keselamatan tidak kukuh dan kerosakan serius pada paip. -AFP