ASAJAYA: Kontraktor pembinaan projek Jalan Pesisir PA1 Kota Samarahan/ Sadong Jaya Seksyen Satu dan Dua Bahagian Samarahan yang kini dalam pembinaan digesa supaya memberi keutamaan isu jalan raya rosak di sepanjang laluan Tambey ke Asajaya dengan segera.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, banyak aduan telah diterima daripada orang awam termasuk wakil rakyat di kawasan terbabit berhubung masalah kerosakkan jalan raya yang menjadi penghubung utama kepada penduduk setempat.
“Ini adalah suara rakyat, tindakan segera perlu diambil oleh kontraktor yang bertanggungjawab dan saya minta, kontraktor memberi fokus kepada jalan raya yang rosak selain melakukan penyusunan dan pembersihan kawasan di bahu jalan yang nampak tidak kemas,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan tapak pembinaan Projek Jalan Pesisir PA1 Kota Samarahan/ Sadong Jaya Seksyen 1 dan 2 Bahagian Samarahan di Dewan Kampung Tambirat di sini, semalam.
Dalam pada itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut menggesa agar kontraktor sering berada di tapak lapangan dan bukannya bergantung kepada sub-kontraktor sepenuhnya bagi pelaksanaan projek.
“Saya minta supaya ketua syarikat kontraktor atau pengarah syarikat untuk turun padang dan sentiasa berada di tapak lapangan bagi mengawasi prestasi kerja dari masa ke semasa supaya mereka dapat mengetahui bagaimana perjalanan kerja-kerja di tapak lapangan,” katanya.
Dalam pada itu dedahnya, projek tersebut telah ditawarkan kepada kontraktor Debessa Development Sdn Bhd pada Februari 2020 dan seharusnya dapat disiapkan pada Ogos lalu, namun disebabkan beberapa masalah ia terpaksa dijadualkan semula untuk disiapkan pada Februari 2022.
Sehubungan itu beliau meminta supaya laporan mingguan projek dan kerja-kerja di tapak lapangan dihantar kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat perunding setiap minggu selain menggesa mereka memantau dengan teliti keadaan jalan supaya tidak rosak dan menghalang lalu lintas.
Menurut Julaihi, kontraktor turut diminta supaya mengemukakan ‘catch up plan’ kepada Unit Jalan Pesisir dan Jalan Raya Kedua Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan dengan segera.
“Kita mohon agar pengurusan yang betul mengenai aliran lalu lintas dilakukan dengan segera, kalau perlu kerja siang, pagi meskipun pada waktu malam, laksanakan supaya ia dapat disiapkan secepat yang mungkin demi keselesaan rakyat.
“Ini kerana jalan tersebut merupakan jalan penghubung utama untuk pergi ke kawasan-kawasan lain termasuk di kawasan saya (Sebuyau) dan setiap kali melintasi jalan ini, saya sering tertanya-tanya di mana kontraktor dan pekerja yang bertanggungjawab melaksanakan projek itu?,” katanya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan merangkap ADUN Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh SYAMIMI HUSNA