KUCHING: Harga siling baharu kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 akan diumumkan menjelang hujung tahun ini selewat-lewatnya 9 Disember depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperhalusi perkara tersebut.
“Harga syiling RTK ini akan dikurangkan lagi dari RM19.90 dan kita bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperhalusi perkara ini memandangkan RTK juga di bawah Medical Device Authorities (MDA) yang akan mengambil kira kualiti produk.
“Kita faham RTK sekarang adalah satu kewajipan selain pemeriksaan suhu badan terutamanya untuk sesuatu upacara yang dihadiri orang ramai,” katanya.
Alexander menjelaskan, penurunan harga siling RTK Antigen Covid-19 itu adalah satu daripada tiga petunjuk prestasi utama (KPI) KPDNHEP yang akan dimajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai prestasi aspirasi setiap Jemaah Menteri bagi 100 hari pertama.
Dalam pada itu, pihak KPDNHEP akan sentiasa melakukan pemeriksaan untuk memastikan semua peniaga mematuhi penjualan kit ujian kendiri tersebut pada harga yang terkawal.
“Penguatkuasa kita akan sentiasa menjalankan pemeriksaan dan kepada peniaga yang masih berdegil akan terus diambil tindakan selanjutnya.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang menjual RTK ini di bawah harga siling yang ditetapkan,” katanya dalam ucapannya ketika Majlis Ramah Mesra Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Bersama Media di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Yang Berbahagia Datuk Seri Hasnol Zam Zam, Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Tuan Azman Adam, Pengarah KPDNHEP Negeri Sarawak Dato’ Stanley Tan dan Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP Yunus Tasim.
Oleh AZREEN KERIA