‘Orang lama penuh pengalaman,
Jasanya dikenang sepanjang zaman,
Orang muda pewaris masa hadapan,
Beri peluang, curahkan bimbingan.
PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Disember 2026 ini, buat kali pertama bakal menyaksikan kemunculan belia berusia 18 tahun, berbanding 21 tahun sebelum ini, untuk mengundi.
Kelayakan umur pengundi 18 tahun, lebih dikenali sebagai Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik itu dijangka bertambah secara drastik.
Pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi pada 15 Disember 2021, tetapi tidak sempat diguna pakai untuk PRN 18 Disember 2021.
Jumlah pengundi pada PRN 2021: 1,252,014 orang. Jumlah pemilih terkini SPR pada 6 November 2026: 2,058,781 orang iaitu pertambahan lebih 806,000 pemilih, bersamaan kira-kira 64.4 peratus.
Kumpulan umur 30 hingga 39 tahun merupakan kumpulan pemilih terbesar direkodkan merangkumi 441,884 orang (21.46 peratus) daripada jumlah 2,058,781 pemilih berdaftar.

Ini diikuti kumpulan umur 21 hingga 29 tahun seramai 405,499 orang (19.70 peratus).
Daripada jumlah 2,058,781 pemilih berdaftar direkodkan itu, seramai 2,034,373 merupakan pengundi biasa, diikuti 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis dan pasangan.
Ini bermakna PRN 2026 mempunyai asas pengundi yang jauh lebih besar berbanding PRN 2021.
Kecenderungan pengundi muda
Data pecahan umur yang dilaporkan berdasarkan daftar pemilih September 2026 menunjukkan pengundi muda mungkin memberikan perhatian kepada rekod perkhidmatan, ketelusan, kemampuan menyelesaikan masalah dan prestasi wakil rakyat.
Namun, faktor keluarga, etnik, komuniti setempat dan hubungan dengan calon juga masih relevan. Tidak semua pengundi muda mempunyai kecenderungan politik yang sama.
Dari sudut analisis pilihan raya, terdapat tiga perkara yang perlu diperhatikan.
Faktor implikasi
Jumlah pengundi muda, memperluas asas pengundi setiap kawasan, kadar keluar mengundi, menentukan sejauh mana potensi pengundi muda diterjemahkan kepada undi sebenar, taburan pengundi dan kesan berbeza mengikut komposisi demografi setiap kawasan DUN.
Jumlah pengundi bawah 46 tahun yang mencecah 58.2 peratus menunjukkan bahawa generasi muda merupakan bahagian besar dalam demografi pengundi Sarawak. Tetapi angka itu tidak bermaksud mereka akan mengundi sebagai satu blok yang seragam.
Berdasarkan laporan media pada 7 November 2026, pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di Sarawak dianggarkan seramai 126,334 orang, bersamaan 6.2 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Angka ini berdasarkan pecahan umur dalam daftar pemilih sehingga akhir September 2026.
Untuk PRN Sarawak pada 12 Disember 2026, jumlah pengundi bawah 40 tahun merangkumi dua kumpulan utama iaitu pengundi berumur 18 hingga 29 tahun dan pengundi berumur 30 hingga 39 tahun.
Pecahan umur yang dilaporkan ialah usia 18–20 tahun (6.2 peratus); 21–30 tahun (22 peratus), 31–45 tahun (30 peratus),
46–59 tahun (21 peratus) dan 60 tahun ke atas 20 peratus.
Apakah undi18 dan belia bawah 40 tahun mampu mempengaruhi corak politik pada PRN 12 Disember nanti?
Sudut ini boleh dikembangkan menjadi sebuah analisis politik yang meneliti perubahan demografi pengundi, aspirasi generasi muda dan cabaran parti politik dalam memahami kehendak pengundi baharu.
Cara mereka berfikir, kata pemerhäti adalah berbeza dengan pendekatan tidak terlalu terikat kepada mana-mana parti, kurang ‘setia’ kepada mana-mana parti dan lebih mudah berubah sokongan.
Sebaliknya, golongan remaja/belia ini lebih cenderung dipengaruhi media sosial seperti TikTok, Instagram dan Facebook dengan fokus isu praktikal seperti gaji dan peluang kerja, kos sara hidup dan masa depan ekonomi.
Tidak hairanlah sejak pelaksanaan Undi18 di negara ini, ramai ahli politik menggunakan platform TikTok, istagram dan FB untuk menayangkan aktiviti harian mereka. Malah kalangan YB yang berumur pula sanggup mengupah remaja yang mahir bagi merakam dan menyiarkan aktiviti mereka di media sosial.
Mereka sudah tidak perlu akhbar cetak untuk promosi diri seperti 20-30 tahun dulu, tetapi turut gemar kepada berita dalam talian @online sebagai antara pilihan utama.
Golongan ini cuba memikat perhatian Undi18 dan belia berusia 40 tahun ke bawah, yang kebanyakannya lebih cenderung kepada berita dipaparkan dalam sosial media.
Sebab itulah, selepas pelaksanaan Undi18, segmen pengundi muda termasuk belia bawah 40 tahun, bagaikan menjadi penentu dan meletakkan calon muda adalah strategi representation (perwakilan) untuk menarik sokongan psikologi daripada golongan sebaya mereka.
Jika diperhatikan di media sosial, banyak komen yang mahu penyandang DUN berusia lebih 60 dan 70 tahun, berundur untuk memberi peluang kepada calon anak muda.
Dari satu sudut, juga perlu difahami kebanyakan mereka yang memberi pelbagai komen ini di media sosial adalah golongan muda dan sudah tentu mahukan calon sebaya mereka.
Namun, golongan yang tidak wujud atau kurang menonjol di media sosial terutama di luar bandar dan pedalaman, masih ada yang mahu penyandang ADUN berpengalaman ini dikekalkan. Golongan pengundi berusia 60 tahun ke atas ini sekarang merangkumi 20 peratus daripada jumlah pengundi.
Campuran yang berusia, muka baharu
Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pernah menyataan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus memberi ruang kepada calon muda untuk memimpin sebagai sebahagian usaha memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan negeri yang mampan.
“Dalam komponen parti, peluang kepada golongan muda ketika ini masih terhad kerana mereka perlu banyak belajar daripada pemimpin berpengalaman.
“Mereka sememangnya mempunyai kelebihan dari segi tenaga dan kepantasan, namun perlu diseimbangkan dengan pengalaman serta kebijaksanaan pemimpin terdahulu,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) pada 19 April lalu.
Bagaimanapun kata Presiden PBB itu, gabungan tenaga dan idea golongan muda dengan pengalaman pemimpin lama penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti serta kestabilan pentadbiran negeri.
Apa yang dimaksudkannya ialah pendekatan keseimbangan antara pemimpin lama dengan yang baharu, dilihat sebagai strategi penting dalam memastikan dasar pembangunan negeri dapat diteruskan secara konsisten, khususnya menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Sebab itu, menjelang PRN nanti, adalah dijangka tidak semua penyandang kerusi DUN yang sudah berumur digantikan dan pada masa sama, pasti ada calon muda.
“Namun, apabila calon dalam kalangan orang muda diketengahkan, saya berharap pemimpin yang lebih berpengalaman tidak merajuk,” tambah Abang Johari lagi.
Natijahnya, campuran pemimpin berpengalaman dan calon muda adalah adunan terbaik untuk memacu kemajuan negeri.
Hayati kata-kata berikut:
Yang tua dihormati kerana jasa,
Yang muda disanjung kerana tenaga,
Pengalaman lama jangan dilupa,
Kepimpinan baharu penyambung bangsa.
Orang lama dihormati kerana pengalaman, orang muda dihargai kerana potensi. Yang lama jangan diketepikan, yang muda jangan dipinggirkan. Kerana kemajuan memerlukan kebijaksanaan orang lama dan keberanian orang muda.
Jangan kerana menghormati orang lama, kita menutup peluang orang muda. Jangan kerana memberi ruang kepada orang muda, kita melupakan jasa orang lama. Kedua-duanya ada peranan, kedua-duanya ada sumbangan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak





