MIAMI, Amerika Syarikat, 12 November: Sebuah kapal penumpang bersejarah yang pernah membawa pemimpin diraja, bintang filem dan lukisan terkenal “Mona Lisa” ke Amerika Syarikat pada abad ke-20 sengaja ditenggelamkan untuk dijadikan terumbu tiruan terbesar di dunia.
Pakar menjalankan operasi penenggelaman terkawal kapal sepanjang 990 kaki (302 meter) itu, yang pernah melakukan lebih 800 pelayaran merentasi Lautan Atlantik pada 1950-an dan 1960-an.
Kapal berkenaan akan ditempatkan di dasar berpasir Teluk Mexico, kira-kira 25 batu (40 kilometer) di barat daya Destin-Fort Walton Beach, Florida.
“Dua injap telah dibuka. Proses penenggelaman sudah bermula,” kata seorang pegawai menerusi siaran langsung yang dikendalikan pihak berkuasa bandar raya itu.
Daerah Okaloosa di Florida membeli kapal SS United States yang sekian lama tidak beroperasi daripada sebuah kumpulan pemuliharaan dengan harga AS$1 juta pada 2024, dengan harapan terumbu tiruan berskala besar itu dapat merancakkan sektor pelancongan tempatan serta menarik minat penyelam dan pemancing.
Kapal yang lebih panjang daripada Titanic itu dan pernah memegang rekod kelajuan pelayaran merentasi Atlantik bakal menjadi tarikan utama taman dasar laut Okaloosa.
Taman berkenaan turut menempatkan beberapa kapal karam, termasuk kapal peninggalan Perang Dunia Kedua, bot tunda dan bot kasino.
Kapten Tim Mullane daripada syarikat maritim Coleen Marine yang berpangkalan di Alabama, yang mengetuai usaha mengubah suai kapal itu, menyifatkan projek berkenaan sebagai “satu penghormatan besar untuk menempatkan kapal yang hebat ini di tempat persemadiannya… di lokasi yang membolehkannya meneruskan kehidupan kedua”.
Kapal itu dijangka menjadi habitat hidupan marin selain menyokong aktiviti menyelam dan memancing.
Proses selama setahun yang merangkumi kerja pembersihan kapal, penyingkiran bahan berbahaya seperti bahan api, cat dan pendawaian, penundaan, pemulihan alam sekitar, pemeriksaan keselamatan serta operasi penenggelaman menelan belanja kira-kira AS$13.5 juta.
SS United States, yang merupakan hasil pencapaian kejuruteraan Amerika Syarikat pada pertengahan abad ke-20, memulakan pelayaran sulungnya pada 1952.
Ketika zaman kegemilangannya, kapal mewah itu membawa ramai tokoh terkenal, termasuk Presiden John F. Kennedy, bekas Raja Edward VIII, Grace Kelly, Elizabeth Taylor dan Salvador Dali. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, turut pernah menaiki kapal itu ketika dalam perjalanan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.
Antara penumpangnya yang paling terkenal ialah lukisan “Mona Lisa” karya Leonardo da Vinci dari abad ke-16, yang dibawa ke Amerika Syarikat pada 1963.
Kurang dua dekad selepas dibina, kapal itu tidak lagi beroperasi berikutan peningkatan populariti perjalanan udara. Kapal berkenaan kemudian terus berlabuh di Philadelphia selama 29 tahun.
Walaupun kapal itu akan berada pada kedalaman 180 kaki, dek paling atasnya hanya kira-kira 55 kaki di bawah permukaan air, sekali gus membolehkan penyelam baharu menerokainya.
Sebelum ini, terumbu tiruan terbesar di dunia ialah sebuah kapal pengangkut pesawat yang ditenggelamkan di luar pesisir Pensacola, Florida, kira-kira 20 tahun lalu.
Pengarah Pelancongan Daerah Okaloosa, Jennifer Adams Kemp, berkata usaha mengubah suai SS United States itu membolehkan warisan kapal berkenaan terus dipelihara.
“Beliau ialah kapal kebanggaan negara kita. Mengapa kita tidak mahu memelihara warisan itu?” katanya kepada CNN sejurus sebelum kapal berkenaan ditenggelamkan.
– AFP





