TRAGEDI di Long Lellang pada 8 September lalu masih terasa berat untuk diterima walaupun sudah dua bulan berlalu. Tidak sesekali kita akan melupakan komitmen tugas yang luar biasa ini.
Selama ini, tanpa tragedi tersebut, kita mungkin terlepas pandang akan kesungguhan dan kesukaran yang mereka lalui. Kita perlu menerima hakikat bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan tragedi sebegini berulang.
Malah, banyak cadangan dan tidak kurang juga kritikan yang boleh dibaca di media sosial tentang bagaimana Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Namun, kita perlu berdepan dengan realiti. Bukan bermaksud cadangan atau kritikan yang disampaikan itu tidak berguna, sebaliknya ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih menyeluruh kerana terdapat banyak parameter yang saling berkaitan tetapi tidak dapat dinilai hanya dari satu sudut.
Benar, helikopter Bolkow BO-105 yang digunakan pada ketika itu telah berkhidmat selama lebih tiga dekad. Namun, usia semata-mata tidak semestinya mencerminkan keupayaan sesebuah pesawat.
BO-105 sememangnya dikenali kerana kelincahan dan keupayaannya beroperasi dalam pelbagai peranan termasuk FDS. Kita tidak dapat menghalang takdir.
Berdasarkan siasatan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), juruterbang memiliki lesen penerbangan dan sijil perubatan yang sah, manakala helikopter tersebut mempunyai perakuan kelayakan terbang yang sah serta disahkan layak terbang ketika berlepas.
Bagaimanapun, punca sebenar kemalangan masih belum dapat dipastikan kerana siasatan masih diteruskan.
Di media sosial, terdapat saranan agar KKM membeli sendiri helikopter bagi melaksanakan operasi FDS kerana peruntukan yang digunakan untuk menyewa helikopter dari pihak luar dianggap lebih daripada mencukupi.
Saranan ini mungkin kedengaran logik pada pandangan pertama memandangkan peruntukan tersebut dilihat mampu menampung kos perolehan sebuah helikopter yang setara dengan helikopter yang digunakan dalam perkhidmatan berkenaan.
Kos operasi berterusan
Namun, perolehan sebuah helikopter bukan sekadar melibatkan harga pembelian aset tersebut. Sepanjang tempoh penggunaannya, helikopter memerlukan kos operasi yang berterusan termasuk perlesenan, latihan dan insurans.
Helikopter juga perlu menjalani pemeriksaan mengikut tempoh atau jumlah jam penerbangan tertentu. Ada komponen yang perlu diganti apabila mencapai had penggunaannya walaupun pada ketika itu masih berada dalam keadaan baik.
Apabila helikopter perlu dikeluarkan daripada operasi untuk penyelenggaraan, helikopter pengganti masih diperlukan bagi memastikan lawatan FDS dapat diteruskan.
Keperluan ini perlu diambil kira sekiranya KKM mahu memiliki dan mengendalikan helikopternya sendiri.
Justeru, dengan memiliki sebuah helikopter tidak semestinya terus mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar. Pemilikan hanya memberikan hak terhadap helikopter tersebut. Pembelian helikopter tidak bermakna semua keperluan untuk mengoperasikannya turut tersedia.
Juruterbang masih perlu disediakan, begitu juga dengan penyelenggaraan, alat ganti dan pengurusan operasi. Jika kemampuan ini tidak dibangunkan sendiri, sebahagian keperluan tersebut masih perlu diperoleh daripada pihak lain.
Malah, pendekatan sementara selepas tragedi Long Lellang sedikit sebanyak memperlihatkan perkara ini. Ketika operasi FDS ditangguhkan, pemindahan perubatan kecemasan diteruskan dengan bantuan aset udara agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Namun bantuan seperti ini tidak boleh dianggap sebagai pengganti tetap kepada FDS. JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai tugas masing-masing. Pada masa sama, lawatan kesihatan berjadual masih memerlukan helikopter dan kru yang boleh disediakan mengikut keperluan KKM.
Oleh itu, penyewaan helikopter kembali menjadi pendekatan yang lebih praktikal. Syarikat pengendali bukan sekadar menyerahkan sebuah helikopter untuk digunakan. Mereka perlu mengatur kru, menyelenggara pesawat dan menyediakan sokongan operasi supaya lawatan FDS boleh dilaksanakan mengikut jadual.
Bagaimanapun, tidak banyak syarikat di Malaysia yang berupaya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan untuk FDS. Kebanyakan operator tempatan memberi tumpuan kepada bidang yang lebih khusus seperti operasi luar pesisir, sektor minyak dan gas, serta perkhidmatan penerbangan sewa khas.
Kontrak
Keadaan ini menjadikan kontrak FDS suatu pertimbangan komersial yang penting. Selain memenuhi keperluan operasi, syarikat pengendali perlu memastikan nilai kontrak mampu menampung kos penyediaan helikopter dan perkhidmatan sokongannya.
Malah, sekiranya kontrak dilaksanakan berdasarkan konsep bayaran mengikut penggunaan, ia boleh menjadi lebih membebankan kepada syarikat pengendali berbanding bayaran tetap untuk tempoh kontrak.
Hal ini kerana helikopter perlu sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, lengkap dengan kru dan sokongan penyelenggaraan yang diperlukan. Walaupun helikopter tidak melakukan sebarang penerbangan, kos operasi tetap perlu ditanggung sedangkan tiada pendapatan dijana sepanjang tempoh tersebut.

Namun, tempoh helikopter tidak diterbangkan bukanlah gambaran keseluruhan penggunaannya. Ada ketikanya penerbangan terpaksa ditangguhkan, manakala pada masa lain helikopter perlu digunakan dengan lebih kerap bagi memenuhi keperluan perkhidmatan.
Di Sarawak, perkhidmatan FDS perlu meliputi 85 lokaliti yang dikunjungi mengikut jadual. Bagi pengendali, cabarannya bukan sekadar menyediakan helikopter untuk penerbangan tersebut, tetapi memastikan pesawat sentiasa tersedia apabila diperlukan.
Sekiranya berlaku kerosakan, kerja pembaikan mungkin mengambil masa lebih panjang daripada yang dijangka. Bukan kerana jurutera tidak mampu melaksanakannya, tetapi alat ganti yang diperlukan mungkin perlu diperoleh daripada pembekal terlebih dahulu.
Selagi kerosakan belum dibaiki dan pesawat belum disahkan selamat untuk kembali beroperasi, helikopter tersebut terpaksa berada di darat. Begitu juga dengan cadangan supaya helikopter yang lebih baharu digunakan bagi menggantikan helikopter lama.
Helikopter baharu sudah tentu dilengkapi dengan teknologi yang lebih terkini. Antara kelebihannya termasuk sistemavionik yang lebih canggih, paparan maklumat penerbangan lebih jelas serta teknologi pemantauan keadaan pesawat yang lebih maju.
Terdapat juga model yang menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik selain dilengkapi sistem diagnostik yang mampu mengesan masalah lebih awal sebelum ia menjejaskan operasi.
Namun begitu, sebagaimana BO-105, helikopter yang telah lama berkhidmat tidak seharusnya dianggap tidak lagi berkelayakan. Selagi pemeriksaan dan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut keperluan serta sijil kelayakan udaranya masih sah, pesawat tersebut boleh terus beroperasi dengan selamat.
Twin Otter
Akhirnya, pemilihan helikopter bukan hanya ditentukan oleh faktor usia atau kecanggihan teknologi. Pertimbangan kos turut memainkan peranan penting kerana setiap pilihan perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan pengendali, peruntukan yang tersedia serta kesesuaiannya untuk memenuhi keperluan operasi FDS.
Selain helikopter, pesawat sayap tetap seperti DHC-6 Twin Otter juga boleh dipertimbangkan untuk mengangkut lebih ramai petugas serta bekalan perubatan dalam satu-satu penerbangan.
Ruang kabinnya lebih luas berbanding helikopter BO-105 dan helikopter lain dalam kelas yang sama.
Kelebihan ini dapat mengurangkan keperluan penerbangan ulang-alik yang kerap bagi menghantar petugas dan bekalan ke sesuatu lokasi. Namun, kapasiti sebenar yang boleh dibawa tetap bergantung pada konfigurasi kabin, jumlah bahan api yang dibawa serta jarak penerbangan yang perlu ditempuh.
Pesawat seperti Twin Otter amat sesuai digunakan untuk menghantar pasukan perubatan dan bekalan ke kawasan pedalaman yang mempunyai Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport).
Bagaimanapun, penggunaannya terhad kepada lokasi yang mempunyai kemudahan pendaratan kerana pesawat ini tetap memerlukan landasan untuk berlepas dan mendarat.
Pada masa sama, tidak semua lokaliti yang perlu diziarahi terletak berhampiran STOLport. Oleh itu, petugas masih perlu meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan darat atau bot untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan.
Keadaan ini juga boleh menyukarkan urusan pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut di hospital atau pusat perubatan yang lebih lengkap.
Sebaliknya, helikopter berupaya mendarat lebih hampir dengan kampung atau lokaliti yang dituju, selagi kawasan pendaratan yang sesuai dan selamat dapat disediakan.
Justeru, Twin Otter mempunyai peranan tersendiri dan boleh melengkapkan operasi FDS, namun ia tidak dapat menggantikan fungsi helikopter bagi semua lokaliti.
Setiap cadangan sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri dan wajar diteliti secara menyeluruh. Namun, kita juga perlu menerima hakikat bahawa tiada satu penyelesaian yang mampu memenuhi semua keperluan.
Sama ada meneruskan pendekatan sedia ada atau melaksanakan perubahan yang lebih menyeluruh, matlamat utama tetap sama, iaitu memastikan FDS dapat diteruskan secara selamat dan berkesan.
Hakikatnya, selagi jalan raya belum dapat disiapkan dengan sempurna, hak untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan bagi penduduk pedalaman ini sangat bergantung kepada FDS. Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.





