Stor alat tulis Balai Polis Kota Sentosa musnah dijilat api

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba berjaya mengawal api pada 3.10 petang sebelum meneruskan kerja pemadaman dan pemeriksaan bagi memastikan tiada punca nyalaan semula.

KUCHING, 11 November: Sebuah stor penyimpanan alat tulis di Balai Polis Kota Sentosa, Jalan Kuching Ranger Depot, musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran petang tadi.

Stor berstruktur tidak kekal berukuran 8 x 10 kaki itu mengalami kemusnahan 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Komander Operasi, PBK I Rahman Abang Deni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.57 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang tiba di lokasi pada 3.08 petang.

Operasi pemadaman berjaya dikawal pada 3.10 petang menggunakan satu aliran dengan dua pancutan nozel serta bekalan air daripada tangki jentera bomba.

ANGGOTA bomba dari BBP Batu Lintang menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal kebakaran yang memusnahkan stor alat tulis di Balai Polis Kota Sentosa, Kuching.

Seramai 11 anggota BBP Batu Lintang terlibat dalam operasi itu dengan bantuan sebuah jentera bomba (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Penyelamatan Kecemasan (EMRS).

Selepas api berjaya dipadamkan, anggota bomba menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada punca nyalaan semula sebelum operasi ditamatkan pada 5.25 petang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi berkenaan.

Oleh Afiq Sallehi