KUCHING, 11 November: Kepelbagaian budaya, keramahan masyarakat dan keindahan alam semula jadi antara pengalaman yang meninggalkan kenangan manis kepada pengunjung sepanjang pernah berada di Sarawak.
Pengalaman itu dikongsikan tiga bekas penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang berasal dari Semenanjung Malaysia, iaitu Nur Aqilah Syahirah, 25, dari Terengganu; Qhairunnisa Shahira Shukri, 25, dari Kelantan; dan Najiha Zakariya, 26, dari Pahang.
Bagi Nur Aqilah, peluang mengenali kehidupan masyarakat tempatan dengan lebih dekat, termasuk mengunjungi rumah panjang, menyertai sambutan Hari Raya dan menyaksikan adat perkahwinan masyarakat di negeri ini menjadi pengalaman berharga yang sukar dilupakan.
Menurutnya, Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri menerusi keharmonian masyarakat berbilang kaum dan etnik yang hidup bersama dengan penuh toleransi.
Katanya, pengalaman tersebut membuka ruang kepadanya untuk memahami budaya, pakaian tradisional, makanan serta cara hidup masyarakat di negeri ini.
Selain itu, keindahan alam semula jadi Sarawak turut menjadi antara tarikan yang memberikan pengalaman berbeza sepanjang kunjungannya.
Antara lokasi yang dikunjunginya termasuk kawasan air terjun Ranchan dan Gunung Sibakar, Bung Bratak yang menjadi lokasi pendakian serta perkhemahan, Gunung Serapi dan beberapa pantai di Lundu, Sematan serta Santubong yang diperkenalkan oleh rakan-rakannya di Sarawak.
Beliau berkata, perjalanan yang agak jauh dari Samarahan ke Lundu dan Sematan ternyata berbaloi apabila berpeluang menikmati keindahan kawasan berkenaan.
Tidak hanya meneroka destinasi pelancongan, beliau turut berpeluang mengunjungi Muzium Budaya Borneo dan Petrosains, selain menikmati makanan tempatan seperti mi kolok dan laksa Sarawak serta mempelajari cara membuat ambuyat.
“Kalau sebelum ini saya hanya tahu tentang Sarawak melalui cerita orang atau media, sekarang saya dapat merasai dan melihat sendiri keistimewaannya.
“Saya pulang bukan sahaja dengan gambar dan kenangan tempat-tempat menarik, tetapi juga dengan pengalaman, ilmu tentang budaya dan persahabatan yang sangat bermakna,” katanya.
Sementara itu, Qhairunnisa Shahira Shukri berkata, antara pengalaman menarik sepanjang berada di Sarawak termasuk berkunjung ke rumah panjang, meneroka kawasan air terjun dan Bung Bratak serta menyertai sambutan Hari Raya bagi mengenali budaya masyarakat tempatan.
Beliau turut berpeluang menyaksikan sendiri adat dan cara masyarakat Sarawak meraikan majlis perkahwinan, sekali gus memberikan gambaran lebih dekat mengenai keunikan tradisi masyarakat di negeri ini.
“Adat di sini berkahwin memang berbeza dengan di Semenanjung. Saya sendiri menyaksikan adat perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak, termasuk tradisi Nasi Temuan yang mencuri perhatian apabila tetamu berebut untuk mendapatkannya”, ujarnya dengan nada teruja.
Pengalaman menggunakan dialek Melayu Sarawak ketika berurusan semasa membeli-belah juga memberikan pengalaman berbeza dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat setempat.
“Saya disini memang belajar dialek Sarawak. Sehinggakan kalau saya pergi kedai pun saya minta tawar harga guna dialek mereka”, katanya dengan berseloroh.
Pengalaman menjalankan temu bual bersama penduduk kampung bagi menyiapkan projek kerja kursus turut memberikan peluang kepadanya berinteraksi secara langsung dengan masyarakat dan mengenali kehidupan mereka dengan lebih dekat.
Selain itu, peluang menikmati ambuyat dan buah dabai menjadi antara pengalaman baharu yang menambahkan pengetahuannya mengenai kepelbagaian makanan tradisional di Sarawak.
“Pertama kali saya merasa buah dabai dan ambuyat. Ambuyat di sini memang sedap, lebih-lebih lagi kalau pedas. Memang sesuai dengan tekak saya yang berasal dari Semenanjung,” katanya.
Bagi Najiha Zakariya pula, Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kepelbagaian masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, masing-masing dengan bahasa, budaya serta tradisi tersendiri.
“Pada pandangan saya, Sarawak mempunyai masyarakat yang sangat unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Setiap kaum juga mempunyai pelbagai bahasa, budaya dan tradisi tersendiri. Kepelbagaian ini menjadikan Sarawak sebuah negeri yang istimewa,” katanya.
Najiha berkata, Sarawak mempunyai tempat istimewa dalam hatinya berikutan pelbagai kenangan manis yang dilalui sepanjang tempoh pengajiannya di negeri ini.
Menurutnya, kepelbagaian makanan, budaya dan suasana masyarakat tempatan merupakan antara perkara yang paling dihargainya.
Pengalaman mengenali budaya berbeza serta menikmati makanan tempatan, katanya, menjadi kenangan bermakna yang akan terus dibawa bersama.
Bagi mereka, pengalaman berada di Sarawak bukan sekadar mengunjungi tempat menarik atau menikmati juadah tempatan, tetapi turut membuka ruang untuk memahami kehidupan masyarakat yang kaya dengan adat, budaya dan tradisi.
Setiap kunjungan, pertemuan dan pengalaman yang dilalui menjadi sebahagian daripada kenangan yang membuktikan keistimewaan Sarawak bukan sahaja terletak pada keindahan alamnya, malah pada masyarakatnya yang sentiasa membuka ruang persahabatan kepada sesiapa sahaja.
Oleh Shikin Mahmud




