KUALA LUMPUR, 11 November: Seramai 344 guru besar atau 4.6 peratus daripada keseluruhan 7,627 guru besar di seluruh negara yang belum berada pada gred jawatan bersesuaian masih dibenarkan bertugas di sekolah masing-masing sementara proses penjajaran gred dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah sementara itu diambil bagi menjaga kebajikan guru besar terlibat, meskipun penggredan semula jawatan berkenaan telah berkuat kuasa sejak Julai lalu.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memuktamadkan kaedah penyesuaian dasar untuk menangani isu berkenaan.
“Sejak Julai lalu, KPM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dan libat urus dengan JPA bagi mencari kaedah penyelesaian atau penyesuaian terbaik untuk semua pihak.
“Kita telah mengemukakan beberapa cadangan alternatif kepada JPA dan kini masih menunggu maklum balas serta keputusan muktamad berhubung perkara ini,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai implikasi perubahan gred sekolah terhadap penempatan dan perkembangan kerjaya guru besar.
Wong berkata, seramai 7,283 guru besar atau 95.4 peratus daripada keseluruhan guru besar di negara ini telah berada pada gred jawatan yang bersesuaian dan boleh meneruskan tugas pengurusan sekolah seperti biasa.
Mengenai kebajikan dan perkembangan kerjaya guru besar yang terkesan, beliau memberi jaminan bahawa sebarang perubahan penempatan tidak akan menjejaskan gred hakiki atau emolumen bulanan mereka.
“Gaji pokok, elaun perkhidmatan dan faedah persaraan setiap guru besar kekal terpelihara. Peluang kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan dan kecemerlangan juga akan terus diberikan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa keseluruhan proses peralihan akan dilaksanakan secara telus, profesional dan adil tanpa mengetepikan jasa serta sumbangan guru besar yang telah lama berkhidmat dalam memajukan pendidikan negara. – Bernama





