KUCHING, 11 November: Batu Kawah berpotensi menikmati perubahan besar dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang menerusi perancangan pembinaan tiga jambatan, peluasan sistem Transit Aliran Automasi (ART) serta pembangunan rangkaian jalan raya baharu bagi menampung pertumbuhan penduduk dan aktiviti ekonomi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perancangan itu penting bagi memastikan kemajuan pesat Batu Kawah disokong kemudahan pengangkutan dan infrastruktur yang mencukupi, khususnya ketika kawasan berkenaan semakin berkembang sebagai tumpuan kediaman dan komersial.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, selepas kira-kira 30 tahun hanya bergantung kepada sebuah jambatan, Batu Kawah kini bakal memperoleh jambatan kedua, manakala dua lagi jambatan dicadangkan sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang kawasan itu.
Menurutnya, jambatan ketiga dicadangkan menerusi laluan Jalan Lingkaran Dalam (Inner Ring Road) yang menghubungkan Kampung Segedup, Sungai Sarawak dan Sejijak bagi membantu mengagihkan aliran trafik.
Satu lagi jambatan keempat pula diharapkan dapat dibina menerusi cadangan jalan baharu yang menghubungkan kawasan berkenaan ke Siniawan merentasi Sungai Sarawak Kanan.

“Batu Kawah berkembang begitu pesat dan kita perlu menyediakan lebih banyak laluan untuk menampung pertambahan trafik. Sebab itu, perancangan jambatan ketiga dan keempat serta laluan ART penting untuk pembangunan kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Dr Sim turut menyatakan harapan agar sistem ART yang dirancang beroperasi menjelang 2030 dapat diperluaskan untuk menghubungkan Batu Kawah dengan kawasan sekitarnya.
Katanya, terdapat empat pilihan laluan yang sedang dikaji melibatkan jarak kira-kira 12 kilometer, dengan potensi melebihi 300,000 pengguna.
Beliau berkata, pembangunan pengangkutan awam itu perlu bergerak seiring pertumbuhan kawasan perumahan bagi menyediakan pilihan mobiliti yang lebih baik kepada penduduk.
Selain itu, beliau berkata, cadangan pembangunan perumahan di Rantau Panjang melibatkan tanah seluas 33.18 hektar yang berpotensi menempatkan 1,562 unit rumah, manakala kawasan seluas 28.33 hektar di Kampung Sandong pula berpotensi menempatkan 600 unit rumah.
Keperluan perumahan mampu milik turut menjadi perhatian apabila projek perumahan di Kampung Segedup yang menawarkan lebih 1,000 unit menerima kira-kira 10,000 permohonan, sekali gus menggambarkan permintaan tinggi terhadap kediaman di kawasan berkenaan.
Dr Sim berkata, pertambahan penduduk dan pembangunan perumahan itu antara faktor yang meningkatkan tekanan terhadap rangkaian jalan raya sedia ada, termasuk kesesakan lalu lintas di Batu Kawah dan Matang.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan peruntukan RM108 juta dikemukakan bagi pakej terakhir projek tebatan banjir Batu Kawah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Katanya, projek itu diharapkan dapat menangani baki masalah banjir di kawasan berkenaan, selain dilengkapi usaha tebatan banjir berskala lebih besar menerusi projek Jalan Pintasan Sungai Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim berkata pembangunan Batu Kawah sepanjang tempoh 2016 hingga 2021 menerima peruntukan pembangunan kira-kira RM300 juta, sebelum meningkat kepada RM936 juta bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan perubahan ketara kawasan berkenaan sejak beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah pada 2016.
Antara perubahan yang dapat dilihat ialah pertumbuhan sektor perumahan, apabila kira-kira 4,800 unit apartmen telah dibina di kawasan Batu Kawah, manakala 1,200 unit lagi sedang dalam pembinaan, menjadikan jumlah keseluruhan sekitar 6,000 unit.
Katanya, kemasukan pelaburan swasta turut menyumbang kepada perkembangan komersial, termasuk pembukaan Affin Bank, stesen pelbagai bahan api Petros serta kemudahan perniagaan dan peruncitan yang semakin berkembang.
Beliau turut menyambut baik pembukaan IKEA di Batu Kawah pada 27 November ini, yang disifatkan sebagai satu lagi petunjuk keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi kawasan berkenaan.
Dalam aspek kemudahan awam, Dr Sim berkata pembangunan Taman Riverbank Batu Kawah yang dilaksanakan secara berperingkat kini menjadi antara lokasi tumpuan penduduk pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, kawasan yang dahulunya merupakan tanah terbiar di rizab sungai kini dikunjungi kira-kira 300 hingga 400 pengunjung setiap malam, khususnya golongan muda yang menggunakan kemudahan seperti gelanggang bola keranjang, ruang papan selaju dan kawasan aktiviti rekreasi.
Beliau berkata kemudahan itu bukan sahaja menyediakan ruang riadah, malah menggalakkan perpaduan apabila golongan muda daripada pelbagai kaum dan sekolah berkumpul serta berinteraksi.
Dr Sim turut memaklumkan bahawa kawasan bekas kuari lama Ang Cheng Ho sedang dibangunkan sebagai taman pelbagai guna yang turut menempatkan Hab Inovasi TEGAS, dengan fasa kedua projek berkenaan telah mendapat kelulusan Premier Sarawak dan akan melalui proses tender.
Selain itu, beliau berkata perancangan pembangunan Taman Biru dan Taman Hijau melibatkan kawasan keseluruhan lebih 65 ekar turut dicadangkan dengan komponen komersial seperti pusat beli-belah dan hotel.
Menurutnya, perancangan itu bertujuan mengekalkan kawasan lapang untuk kegunaan awam sambil mewujudkan kemudahan komersial yang dapat merancakkan ekonomi setempat.
Dalam pada itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempercepat pelaksanaan projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Wira serta pembinaan balai polis dan balai bomba Batu Kawah yang telah lama diperlukan penduduk.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam perlu dilaksanakan secara berterusan supaya pertumbuhan Batu Kawah dapat diterjemahkan kepada persekitaran kehidupan yang lebih selesa, teratur dan berdaya saing.
“Batu Kawah sudah banyak berubah dalam tempoh 10 tahun. Kita mahu perubahan ini diteruskan supaya kawasan ini bukan sahaja menjadi tempat untuk didiami, tetapi juga tempat untuk berkembang dan menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




