Global Sulam Unimas–UMSU perkasa komuniti melalui agroteknologi pintar

Facebook
WhatsApp
WAKIL Unimas dan UMSU bersama para pelajar serta penduduk komuniti Kampung Empila semasa Program Inbound Global Sulam UMSU × Unimas 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Empila, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 7 Oktober: Usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui pemindahan teknologi dan inovasi pertanian mampan menjadi fokus utama Program Inbound Global Sulam UMSU X Unimas 2026: Pemerkasaan Komuniti melalui Fabrikasi Mampan dan Teknologi Agro Pintardi Dewan Serbaguna Kampung Empila, di sini baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) itu turut melibatkan Koperasi FELCRA Bahagian Samarahan dan penduduk Kampung Empila sebagai rakan komuniti dalam usaha memperkenalkan pendekatan pertanian moden yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi setempat.

Berteraskan konsep Pembelajaran Khidmat Malaysia–Universiti untuk Masyarakat (Sulam), program ini menggabungkan pembelajaran akademik dengan penglibatan secara langsung bersama masyarakat menerusi bidang hortikultur, penternakan kelulut, pengeluaran cendawan, fabrikasi mampan dan agroteknologi pintar.

TAKLIMAT… Dr. Muhammad AlQamari S.P., M.P. menyampaikan taklimat dalam sesi bengkel penanaman cendawan sebagai perkongsian ilmu dan pemindahan teknologi berkaitan kaedah penanaman cendawan kepada para peserta Program Inbound Global Sulam UMSU × Unimas 2026.

Pelaksanaan program melibatkan tiga fakulti Unimas, iaitu Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Fakulti Kejuruteraan serta Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

Mahasiswa daripada fakulti berkenaan berpeluang mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui kursus STG3213 Horticulture, STG3223 Apiculture, KNP1151 Amali Bengkel dan TMF4034 Tekno keusahawanan dan Pembangunan Produk dalam persekitaran komuniti sebenar.

Antara pengisian utama program ialah bengkel penanaman cendawan yang dikendalikan oleh wakil UMSU, Dr. Muhammad AlQamari S.P., M.P. Bengkel tersebut memberikan pendedahan kepada peserta mengenai teknik penanaman cendawan sebelum diteruskan dengan demonstrasi praktikal di rumah cendawan.

Selain itu, demonstrasi rumah cendawan berasaskan Internet of Things (IoT) turut diperkenalkan oleh Sebastian bagi memperlihatkan penggunaan teknologi digital dalam membantu pemantauan dan pengurusan aktiviti pertanian secara lebih sistematik.

Program turut memberi tumpuan kepada pengusahaan kelulut melalui demonstrasi penternakan kelulut serta penyerahan sebuah rumah kelulut kepada komuniti.

PESERTA Program Inbound Global Sulam UMSU × Unimas 2026 bersama-sama menyertai aktiviti demonstrasi penternakan lebah kelulut dan penanaman bunga di tapak program Kampung Empila sebagai usaha menyokong sumber makanan lebah kelulut serta memupuk kelestarian persekitaran.

Inisiatif penanaman dan pengagihan pokok bunga turut dilaksanakan bagi menyediakan sumber makanan kepada lebah kelulut, sekali gus menyokong pengeluaran madu kelulut.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemindahan teknologi kepada masyarakat, kemudahan pertanian termasuk rumah kelulut, kemudahan pengeluaran cendawan dan pokok bunga diserahkan kepada komuniti Kampung Empila untuk kegunaan dan pengurusan berterusan selepas program.

Penerimaan positif komuniti terhadap program turut ditunjukkan menerusi tinjauan pasca program yang melibatkan 18 responden daripada komuniti.

Hasil tinjauan mendapati 94.4 peratus responden memberikan penilaian positif terhadap program secara keseluruhan serta pencapaian objektifnya.

Selain itu, 88.9 peratus berpuas hati dengan latihan yang diterima, manakala 83.3 peratus menyatakan bahawa program tersebut bermakna kerana memperoleh pengetahuan baharu.

Dapatan tersebut mencerminkan penerimaan positif terhadap pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti serta perkongsian ilmu dan teknologi pertanian secara praktikal.

Menurut Ketua Projek, Dr. Surisa Phorvillay, inisiatif berkenaan mempunyai potensi untuk membantu komuniti meneroka peluang menjana pendapatan tambahan melalui penerapan teknik penanaman yang lebih moden dan efisien.

Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian pengetahuan dan teknologi dalam membantu masyarakat memanfaatkan potensi sektor pertanian.

Sementara itu, Dr. Mohd Hilmi Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan program Sulam tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian dalam tempoh satu hari sahaja, sebaliknya melalui pengetahuan, hubungan kerjasama dan perubahan positif yang dapat dikekalkan dalam komuniti.

Dari perspektif mahasiswa, program ini turut memberikan pengalaman bermakna dalam membina hubungan dengan masyarakat.

Mahasiswa daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Lee Hao Ming, yang terlibat sebagai penganjur pelajar, berkongsi bahawa penglibatan komuniti bukan sekadar bergantung kepada kecanggihan teknologi, tetapi turut memerlukan keupayaan untuk mendengar, memahami keperluan dan berkongsi penyelesaian yang bersesuaian.

Program ini disertai tujuh wakil UMSU serta mahasiswa dan penganjur daripada Unimas, selain penglibatan komuniti Kampung Empila.

Pertemuan tersebut menjadi platform pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia.

Tetamu kehormat hadir Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Unimas, Profesor Teknologist Dr. Faisal Ali; Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Abdullah Haji Yassin; Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Profesor Dr. Jane Labadin; serta wakil Dekan Fakulti Pertanian UMSU, Dr. Ira Apriyanti.

Turut hadir Pengarah Pusat Kelestarian Universiti Unimas, Profesor Madya Dr. Rafeah Wahi; Ketua Kampung Empila Hilir, Mohamad Bujang Mahidi; dan Pengerusi Koperasi FELCRA Bahagian Samarahan, Nawi Som.