KUCHING, 10 November: Tujuh pelajar Sekolah Kemahiran YAHOS mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menamatkan Program Profesional dan Eksekutif dalam Bidang Pastri anjuran Unimas Business School, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), baru-baru ini.
Kejayaan tersebut diraikan pada Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR Putra), Unimas, sekali gus mengiktiraf komitmen dan dedikasi mereka dalam meningkatkan kemahiran profesional dalam bidang pastri.
Graduan yang berjaya menamatkan program berkenaan ialah Anisah Mohd Suut, John Bundang, Arien Angelina Senang, Genovia Rusle, Justin Paul Hennery, Robinson Donny dan Elizabeth Aren.
Pencapaian mereka merupakan hasil usaha gigih sepanjang mengikuti latihan yang memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran teknikal, kreativiti serta ketelitian dalam penghasilan produk pastri berkualiti tinggi.
Penyertaan para pelajar dalam program tersebut dilaksanakan menerusi Program Latihan Kemahiran di bawah Program Khas Bumiputera (PKB) Sarawak yang mendapat pembiayaan daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Pengarah Urusan Sekolah Kemahiran YAHOS, Natasha Nasa Uggah berkata sokongan berterusan daripada kerajaan menerusi pembiayaan latihan kemahiran memberi peluang lebih luas kepada golongan belia untuk memperoleh pendidikan dan kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan industri.
Beliau berkata, kejayaan tujuh graduan tersebut membuktikan bahawa pendidikan berasaskan kemahiran mampu melahirkan tenaga kerja berdaya saing selain membuka ruang kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Bidang pastri mempunyai potensi pembangunan yang besar merangkumi sektor hospitaliti, perniagaan makanan dan industri keusahawanan. Graduan perlu memanfaatkan ilmu serta pengalaman yang diperoleh bagi meningkatkan kompetensi diri dan meneroka peluang baharu,” katanya.
Natasha turut berharap kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan penyedia latihan kemahiran dapat terus diperkukuh bagi memastikan lebih ramai belia Bumiputera di Sarawak memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan yang memenuhi kehendak pasaran kerja.
Menurut beliau, Sekolah Kemahiran YAHOS akan terus komited memperkasa pembangunan modal insan menerusi penyediaan latihan kemahiran yang relevan dan selari dengan perkembangan industri.
Kejayaan tujuh graduan itu bukan sahaja menjadi kebanggaan institusi berkenaan, malah mencerminkan kepentingan sokongan pelbagai pihak dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat dan modal insan negara, khususnya dalam kalangan belia Bumiputera Sarawak.
Oleh Adi Safarman





