KUCHING, 11 November: Lebih 100 pemimpin perniagaan, pegawai kerajaan dan pemain industri berhimpun dalam forum bagi meneroka peluang pembiayaan serta pelaburan untuk mempercepatkan peralihan industri Sarawak ke arah pembangunan lebih mampan.
Forum bertemakan Melangkah ke Hadapan: Pembiayaan Peralihan Industri Sarawak (Powering Forward: Financing Sarawak’s Industrial Transition) itu dianjurkan bersama oleh Standard Chartered, InvestSarawak dan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) di sebuah hotel di sini, semalam.
Forum berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menterjemahkan aspirasi peralihan industri Sarawak kepada projek yang berdaya maju dari sudut pelaburan, sekali gus berpotensi menarik pembiayaan dan dikembangkan pada skala lebih besar.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk pembiayaan mampan dan peralihan, pembiayaan perdagangan, modal kerja, penggunaan teknologi bagi mengurangkan pelepasan karbon serta peluang penyertaan syarikat dan vendor tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucaptama sebelum menyertai sesi perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Interim, Ketua Liputan dan Ketua Pegawai Kewangan Standard Chartered Malaysia, Mushahid Syed.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma turut menyampaikan ucapan alu-aluan pada forum berkenaan.
Mushahid berkata, Sarawak mempunyai asas kukuh untuk melaksanakan peralihan industri menerusi sumber tenaga, peningkatan keupayaan serta komitmen terhadap pertumbuhan mampan.
Menurutnya, langkah seterusnya adalah memastikan aspirasi berkenaan diterjemahkan kepada projek yang mempunyai struktur pembiayaan kukuh dan mampu menarik pelaburan.
Beliau berkata, institusi kewangan berperanan menghubungkan kerajaan, pemain industri dan pelabur, selain menggerakkan modal serta membuka akses kepada peluang perniagaan menerusi rangkaian antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong berkata, kekuatan sumber tenaga, hala tuju pembangunan yang jelas serta pertumbuhan industri tempatan menjadi asas kepada peralihan industri Sarawak.

Katanya, menerusi Pusat Perindustrian dan Peralihan Sarawak (TIC Sarawak), pihaknya komited menjadikan negeri ini destinasi pelaburan yang bersedia dengan peluang projek berstruktur dan berpotensi menarik modal antarabangsa.
Pengarah Eksekutif BMCC, Farhan Zamri pula berkata, transformasi industri Sarawak membuka peluang besar kepada syarikat dari Britain dan antarabangsa untuk meneroka kerjasama perniagaan.
Menurutnya, BMCC berperanan menghubungkan aspirasi pembangunan Sarawak dengan kepakaran, teknologi dan pelaburan antarabangsa bagi mewujudkan kerjasama yang memberi manfaat ekonomi kepada negeri ini serta syarikat yang terlibat.
Forum itu turut menampilkan dua sesi perbincangan panel yang membincangkan aspek pembiayaan dan penyahkarbonan industri.
Panel pertama bertajuk Pembiayaan Peralihan meneliti peranan pembiayaan perdagangan, modal kerja dan pembiayaan mampan dalam menyokong projek TIC Sarawak serta penyertaan vendor.

Panel kedua, Penyahkarbonan Berdaya Biaya, pula membincangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan pemantauan masa nyata bagi memastikan usaha mengurangkan pelepasan karbon dapat diukur, disahkan serta mempunyai nilai pembiayaan.
Forum berkenaan menjadi platform mempertemukan kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri untuk mengenal pasti peluang kerjasama serta memperkukuh penyertaan sektor swasta dalam agenda peralihan industri Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud




