Kepincangan pengurusan Man Utd jejaskan masa depan Carrick

Facebook
WhatsApp
KETUA jurulatih Manchester United, Michael Carrick. Foto AFP

LONDON, 11 November: Michael Carrick meninggalkan pusat latihan Manchester United dengan masa depannya masih belum jelas susulan perkembangan terbaharu yang mencerminkan ketidaktentuan dalam kepimpinan kelab itu.

Carrick dilaporkan menerima berita bahawa beliau bakal dipecat selepas permulaan musim yang mengecewakan menyaksikan United menghuni zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris.

Sekiranya pemecatan itu berlaku, sukar untuk penyokong paling setianya mempertikaikan keputusan berkenaan memandangkan United mencatat permulaan musim terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Bagaimanapun, seperti yang sering berlaku apabila pengurusan United berdepan keputusan besar, Carrick sekali lagi meninggalkan pusat latihan selepas sesi latihan tanpa mendapat kepastian mengenai kedudukannya.

Daripada memuktamadkan keputusan sama ada mahu memecat atau mengekalkannya, pengurus berusia 45 tahun itu terus dibiarkan dalam keadaan tidak menentu.

Nasib Carrick akan ditentukan oleh pemegang saham utama, Jim Ratcliffe, Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dalam mesyuarat di Monaco pada Rabu.

Walaupun keputusan muktamad belum dibuat, Berrada dan Wilcox dilaporkan cenderung untuk menamatkan khidmat Carrick.

Ratcliffe dan keluarga Glazer selaku pemilik United dijangka menerima cadangan itu, sekali gus meletakkan kelab berkenaan dalam satu lagi krisis pengurusan.

Penyokong United yang sudah bosan menyaksikan kemerosotan prestasi pasukan sejak kali terakhir menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2013 pastinya berasa keadaan itu seperti berulang.

Dua tahun lalu, Erik ten Hag mengetuai United dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 menentang Manchester City di Stadium Wembley ketika spekulasi mengenai pemecatannya hangat diperkatakan tanpa mengira keputusan perlawanan.

Namun, kemenangan mengejut United menyebabkan Ratcliffe mengambil masa beberapa minggu untuk menentukan masa depan Ten Hag, termasuk mengadakan pertemuan dengan Thomas Tuchel di Monaco ketika pramusim. Bagaimanapun, pengendali dari Jerman itu akhirnya menolak tawaran berkenaan.

Ten Hag kemudian diberikan lanjutan kontrak selama setahun sebelum musim 2024-2025 bermula.

Bagaimanapun, beliau dipecat hanya tiga bulan selepas menerima kontrak baharu apabila prestasi pasukan merosot pada awal musim tersebut.

“Mereka menjanjikan kesetiaan, sokongan dan komunikasi kepada saya. Namun, janji-janji itu tidak ditunaikan,” kata Ten Hag.

Kenyataan itu merupakan kritikan keras terhadap Ratcliffe dan barisan penasihatnya, termasuk bekas Pengarah Sukan, Dan Ashworth.

Tempoh singkat Ashworth bersama United turut memperlihatkan kelemahan dalam struktur pengurusan di Old Trafford.

Beliau dibawa masuk dari Newcastle, namun hanya bertahan selama lima bulan sebelum meninggalkan kelab itu atas persetujuan bersama pada 2024.

Perpisahan itu dipercayai berpunca daripada perbezaan pendapat berhubung keputusan melantik Ruben Amorim sebagai pengganti Ten Hag.

Pendekatan Keras

Mungkin United sepatutnya mengambil kira pandangan Ashworth kerana era kepimpinan Amorim yang mengecewakan selama 14 bulan berakhir dengan penuh kontroversi pada Januari tahun ini selepas beliau menggesa pihak pengurusan supaya tidak mencampuri urusan pasukan.

Carrick kemudian mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara dan pendekatannya yang lebih sederhana pada awalnya dilihat sebagai perubahan positif berbanding pendekatan keras Amorim.

United berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara, sekali gus membolehkan Carrick diberikan kontrak tetap.

Bagaimanapun, pelantikan itu dianggap berisiko oleh barisan kepimpinan kelab memandangkan bekas pengurus Middlesbrough itu kurang pengalaman mengendalikan pasukan di peringkat tertinggi.

Kedudukan Carrick mula dipersoalkan selepas United melalui jendela perpindahan pemain yang mengecewakan, selain mengalami kekalahan memalukan pada perlawanan pembukaan musim menentang Hull.

Spekulasi mengenai pemecatannya kembali memuncak selepas United tewas 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri, namun kelab itu secara mengejut memutuskan untuk mengekalkannya.

United akhirnya menunjukkan kebangkitan menerusi kemenangan dramatik ke atas Roma minggu lalu dan keputusan seri menentang Aston Villa pada Ahad.

Persoalannya, adakah Carrick berjaya membentuk semangat juang dalam kalangan pemainnya sehingga mampu mengelakkan United daripada tersingkir buat kali pertama sejak 1974?

Barisan kepimpinan United sekali lagi dilihat tidak mempunyai pendirian jelas apabila menangguhkan keputusan sehingga mesyuarat di Monaco, selain mempertimbangkan calon pengganti sekiranya Carrick dipecat.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur dan Chelsea, Mauricio Pochettino, dilaporkan memaklumkan kepada United bahawa beliau terbuka untuk menerima jawatan itu walaupun baru-baru ini melanjutkan kontraknya bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat sehingga 2030.

Eddie Howe, Unai Emery, Antonio Conte dan Julian Nagelsmann turut dikaitkan dengan jawatan pengurus kelab yang pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak 20 kali itu.

Bagaimanapun, pertahanan United, Lisandro Martinez, bulan lalu mengingatkan bahawa kelab itu tidak boleh terus menukar pengurus tanpa menilai kelemahan dalam aspek lain.

“Tidak bolehkah kita berhenti menukar pengurus berulang kali? Bagaimana pula dengan aspek lain?” katanya.

Walaupun amaran itu telah disuarakan, Carrick dijangka dipecat selepas hanya mencatatkan satu kemenangan dalam 10 perlawanan liga, manakala Berrada dan Wilcox dipercayai tidak berdepan risiko kehilangan jawatan masing-masing.

“Saya jelas tentang hala tuju yang perlu kami capai dan cara untuk merealisasikannya,” kata Carrick baru-baru ini.

Selagi kepimpinan United gagal merangka hala tuju yang jelas dan konsisten, kelab gergasi yang pernah mendominasi bola sepak Inggeris itu dijangka terus berdepan krisis demi krisis. – AFP