KUALA LUMPUR, 10 November: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menyerahkan laporan serta bukti insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City FC dan Selangor FC, Ahad lepas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.
MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua laporan dan bukti berkaitan insiden aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching selesai dikumpulkan sebelum diserahkan kepada FAM untuk penelitian serta tindakan menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Menurut MFL, maklumat yang diserahkan merangkumi laporan antaranya daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan dan penilai pengadil.
“Dalam masa yang sama, MFL turut meneliti dan mengkaji sebarang tindakan susulan yang boleh diambil berdasarkan peraturan serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada MFL,” menurut kenyataan itu.
MFL memaklumkan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat mencetuskan kekecohan serta menunjukkan tingkah laku tidak wajar.
Selepas tewas 1-2 pada aksi pertama, Kuching City bangkit mengatasi Selangor dengan kemenangan agregat 3-2 dan akan bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final yang dijadual berlangsung 16 Januari depan. – Bernama





