KUALA LUMPUR, 11 November: Seni dikir barat kini berdepan cabaran melahirkan pelapis tukang karut yang mahir berpantun secara spontan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan masa depan warisan tradisional itu.
Menurut pengarah, pelakon, penulis dan pengkaji dikir barat Sabri Yunus, industri seni itu ketika ini lebih banyak melahirkan penyanyi berbanding tukang karut baharu, sedangkan kedua-duanya memainkan peranan penting dalam persembahan.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan persembahan dikir barat semakin bergantung pada segelintir tukang karut berkemahiran tinggi, manakala usaha melahirkan pelapis baharu masih belum seiring dengan perkembangan seni berkenaan.
“Saya pernah berbincang dengan kawan-kawan empat atau lima tahun lepas bahawa dikir barat akan mengalami krisis kehilangan tukang karut. Apa yang kita jangka berlaku dalam masa 10 tahun, dalam masa tiga tahun sudah pun berlaku.
“Kita mempunyai ramai penyanyi dikir barat dan kita tidak menyalahkan mereka, tetapi mengapa kita tidak melahirkan lebih ramai tukang karut?,” katanya ketika menjadi panel forum Akar Pantai Timur, Rimbun Malaysia anjuran Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara bersempena dengan program Nostalgia Anak Kampung: Kerja Kampung 2026 di Muzium Negara, baru-baru ini.
Pelakon dan pengarah telefilem Pok Ya Cong Codei itu berkata ketika ini, terdapat kira-kira enam hingga tujuh tukang karut yang dianggap berkemahiran tinggi, namun jumlah itu perlu ditingkatkan agar persembahan dikir barat tidak hanya menampilkan individu yang sama.
Beliau berkata antara faktor kekurangan pelapis ialah kecenderungan golongan muda memilih untuk menjadi penyanyi dikir barat berbanding menguasai kemahiran sebagai tukang karut.
Menurut beliau, penyanyi yang semakin popular mungkin meninggalkan pentas dikir barat untuk membina kerjaya seni sendiri, sekali gus menyebabkan jumlah penggiat yang mampu meneruskan persembahan tradisional berkenaan semakin berkurang.
Sabri yang sedang melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata kebolehan menyusun pantun dan rima secara spontan merupakan kekuatan utama dikir barat yang perlu terus dipelihara walaupun kesenian itu mengalami perubahan dari segi muzik dan persembahan.
Beliau turut mencadangkan penyanyi dan tukang karut saling mempelajari kemahiran kedua-duanya bagi memastikan seni itu dapat diwarisi generasi baharu.
Sementara itu, penggiat dikir barat dan penulis lagu Kelantan Fadil Turbo, atau nama sebenarnya Mohd Fadil Mohd Noor, berkata penulisan lagu dikir barat bukan sekadar memerlukan jalan cerita yang menarik, tetapi juga penguasaan rima, puisi dan melodi yang sesuai.
Penulis lirik lagu Bey Sobar Bey itu berkata walaupun terdapat penulis baharu yang berminat menghasilkan lagu dikir barat, sebahagian daripada mereka masih kurang memahami teknik penulisan, terutama penggunaan rima di bahagian tengah dan hujung rangkap.
“Ada lagu yang mempunyai jalan cerita baik tetapi kurang memberi impak kerana susunan rima dan melodinya tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan lebih banyak pendedahan mengenai teknik penulisan lagu dikir barat diberikan kepada penggiat baharu agar seni itu terus berkembang tanpa mengabaikan keunikan asalnya.
Bagi Koordinator Seksyen Pemuliharaan Seni Budaya Pusat Kebudayaan Universiti Malaya Mohd Asrulfaizal Kamaruzaman pula, kebimbangannya menjurus kepada kecenderungan sesetengah penulis lirik baharu mengubah sebutan perkataan bahasa Melayu kepada dialek Kelantan tanpa memahami maksud sebenarnya.
“Sebagai contoh, perkataan ‘pandang’ ditukar menjadi ‘pandey’, sedangkan maksudnya tidak sama. Saya tidak tahu sama ada mereka berbuat demikian semata-mata untuk menyesuaikan rima atau tidak memikirkan lagi penggunaan perkataan asli bahasa Kelantan, terutama perkataan lama yang semakin ditinggalkan,” katanya.
Teraju utama filem Duan Nago Bogho itu berkata cara penulisan sedemikian boleh menyebabkan perkataan asli dialek Kelantan semakin dilupakan, selain menjejaskan keaslian lirik dikir barat.
Menurut beliau, usaha memelihara dikir barat perlu diberikan perhatian secara berterusan kerana kesenian itu bukan sekadar hiburan, malah menjadi sebahagian daripada warisan budaya masyarakat.
“Bagi saya, dikir barat ini adalah budaya. Jawatan saya pun dalam bidang pemuliharaan, jadi saya anggap benda ini perlu dipulihara. Kalau mendatangkan pendapatan, itu bonus bagi saya. Kalau tidak mendatangkan pendapatan pun, itu tetap perjuangan saya,” katanya.
Forum Akar Pantai Timur, Rimbun Malaysia yang dikendalikan oleh gandingan penyampai radio THR Gegar, Issey Fazlisham dan Fizie adalah sebahagian daripada program Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 yang mendapat sokongan Yayasan Hasanah melalui geran ArtsFAS (Arts For All Seasons).
Selain forum, program itu turut menampilkan persembahan khas tokoh dan penggiat dikir barat, bengkel Seni Berpantun dalam Dikir Barat bersama Sabri Yunus, Dikir Barat Youth Camp, aktiviti pendidikan budaya dan pemindahan ilmu serta pendokumentasian digital warisan dikir barat.- Bernama





