Mohammed Taufiq tolak dakwaan Indonesia boikot Sukan SEA 2027

Facebook
WhatsApp
MENTERI Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari ketika ditemui para pengamal media selepas pelancaran Portal Rasmi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke- 14 Tahun 2027 di Majlis Sukan Negara hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 10 November: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menolak dakwaan yang mengatakan Indonesia sedang mempertimbangkan untuk memboikot Sukan SEA 2027 susulan keputusan pengguguran beberapa acara sukan daripada temasya itu.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu, selain menegaskan pemilihan acara telah dibuat menerusi proses dan tatacara yang ditetapkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) serta dipersetujui negara-negara terlibat.

“Ini bukan kali pertama sebenarnya sukan ini tidak diadakan. Kalau kita lihat sebelum ini juga ada tuan rumah yang tidak menganjurkan acara-acara tertentu.

“Jadi ini semua kita melalui proses yang ditetapkan dan telah pun dipersetujui oleh SEAGF dan juga dipersetujui oleh semua. Jadi saya rasa perkara ini tidak lagi berbangkit,” katanya pada sidang media pelancaran Portal Rasmi Sukan SEA 2027 di sini, hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sebuah persatuan sukan kebangsaan Indonesia mencadangkan kemungkinan memboikot temasya berkenaan, susulan beberapa sukan yang menjadi keutamaan negara itu tidak disenaraikan dalam program pertandingan.

Antara sukan yang dilaporkan tidak dipertandingkan ialah sukan panjat dinding, mendayung, bola tampar pantai, gusti, catur, jujitsu, kickboxing dan bola baling.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata beliau menghormati pelbagai pandangan yang disuarakan berhubung isu itu, namun berharap semua negara terus mengutamakan semangat perpaduan ASEAN.

“Saya yakin tema yang kita pilih pada kali ini ialah Celebrating Unity. Kita nak raikan perpaduan.

“Jadi ini ialah temasya kekeluargaan, iaitu keluarga ASEAN. Saya yakin dan percaya setiap negara mempunyai kebijaksanaan masing-masing untuk memastikan perpaduan dalam ASEAN ini tetap dipertahankan dan diperkukuh,” katanya.

Oktober lepas, sebanyak 473 acara membabitkan 43 jenis sukan diluluskan secara rasmi untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.- Bernama