SKUAD Sri Aman FA Bawah 25 diharapkan mampu menempa kejayaan dengan membawa pulang Piala Liga SSC-FAS 2021 ke ‘Bumi Simanggang’ pada musim ini.
Keinginan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Datuk Francis Harden Hollis serta mengakui telah lama ‘dahagakan’ piala kemenangan untuk diraikan.
“Saya harap skuad muda bawah 25 pada musim ini akan menjulang nama Sri Aman dengan membawa pulang kejayaan yang paling dinanti-nantikan peminat dan penyokong di sini setelah sekian lama.
“Dengan pengurusan terbaik serta pemain yang diamanahkan oleh FASA pada kali ini, saya percaya hasrat merealisasikan impian itu tidak mustahil akan menjadi kenyataan pada musim ini,” katanya.
Harden yang juga Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak berkata tidak mustahil impian itu dapat direalisasikan sekiranya mentaliti ingin menang diterapkan dalam diri setiap individu namun dalam apa jua pertandingan pasti ada cabaran yang perlu dihadapi.
Beliau turut percaya aspek mentaliti menjadi juara yang diterapkan oleh pemain yang diamanahkan adalah kunci utama yang akan mampu membantu membawa pulang kejayaan pada kejohanan itu nanti.
“Saya mengingatkan setiap pemain muda Sri Aman 2021 supaya mempunyai mentaliti menjadi juara dan kemenangan dalam setiap perlawanan memastikan kejayaan milik mereka.
“Kalau ada mentaliti untuk menang, kita boleh mencapai kemenangan. Tetapi kejayaan itu tidak datang secara percuma melainkan dengan usaha, memberi segala perhatian, fokus, disiplin, kerja berpasukan dan saling membantu rakan lain dalam pasukan,” ujarnya.
Beliau berkata antara sebab sesebuah pasukan itu menyinar adalah keinginan kuat untuk mencapai sesuatu kejayaan.
Pada masa sama Harden yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mahu pengurusan yang baharu yang dikendalikan oleh Pengurus Pasukan, Awang Putrayusrie Awang Redzuan akan menjalankan amanah yang diberikan ini, dengan memastikan skuad itu melangkah jauh pada kali ini.
“Penyertaan skuad Sri Aman pada kali ini agak tampak menarik apabila mendapat khidmat dua beradik kembar yang merupakan lagenda bola sepak Malaysia dan Sarawak, Ramos dan Ramles Sari bersama Sufian Ibrahim yang akan mengemudi pasukan ini.
“Saya percaya dengan adanya barisan jurulatih berpengalaman ditambahkan lagi dengan pemain-pemain handalan yang dipilih mewakili pasukan ini, adalah tidak mustahil kita akan membawa pulang kejayaan sekali gus menjulang nama Sri Aman dalam sukan bola sepak di negeri ini,” tegas beliau.
Oleh ADI SAFARMAN