Pemandu mabuk didenda RM10,000, lesen digantung dua tahun

Facebook
WhatsApp
INDIVIDU yang didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol diiringi dua anggota polis selepas prosiding di Mahkamah Majistret Sarikei. Foto IPD Sarikei

SARIKEI, 10 November: Seorang individu yang ditahan dalam Operasi Mabuk (Op Mabuk) di sekitar bandar Sarikei pada awal November dijatuhi hukuman denda RM10,000 dan penggantungan lesen memandu selama dua tahun selepas didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Sarikei hari ini mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, tangkapan itu dilakukan menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei bagi membanteras kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Op Mabuk yang dijalankan pada awal November, di sekitar bandar Sarikei telah berjaya menahan seorang individu yang telah memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, prosiding kes tersebut didengar di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Azeem Mohd Ridzo.

Tambahnya, tertuduh tidak diwakili peguam sepanjang prosiding mahkamah tersebut.

“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas tertuduh dan hukuman penjara antara satu hari dan jika gagal membayar denda, hukuman penjara ingkar denda selama tiga puluh hari, serta penggantungan lesen memandu selama dua tahun,” katanya.

Katanya, tertuduh kemudiannya dihantar ke Penjara Sibu bagi menjalani hukuman penjara seperti yang diperintahkan mahkamah.

Dalam pada itu, Aswandy mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“IPD Sarikei ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas serta mengamalkan pemanduan yang berhemah.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan di daerah ini,” katanya.

Oleh Earl Anek

Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR, 6 November: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam