SIBU, 6 Disember: Dua penganggur masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Sibu hari ini kerana mencuri wayar tembaga sepanjang 20 meter dari bangunan yang terbakar di Jalan Khoo Peng Loong.
Majistret Oon Kork Chern yang menjatuhkan hukuman itu, mengarahkan kedua-dua tertuduh, Abrahim Rahman, 57, dan Jessica Jalani, 35, mula menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh mereka ditahan, 2 November 2026.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh didakwa bersama mencuri wayar tembaga sepanjang lebih kurang 20 meter dari sebuah premis di Jalan Khoo Peng Loong pada 12 Oktober 2026, jam lebih kurang 3.05 pagi hingga 3.10 pagi.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan yang dihukum mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 379 boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali sementara bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, dikenakan hukuman penjara dan juga denda atau sebatan.
Mengikut fakta kes, pada 31 Oktober 2026, jam lebih kurang 2 petang, semasa pengadu berada di kedai miliknya di Jalan Khoo Peng Loong, pengadu menyedari wayar tembaga pada unit penyaman udara telah dipotong dan dicuri.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,500.
Berikutan laporan polis yang dibuat, membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh pada 2 November 2026, jam lebih kurang 1.30 petang kerana disyaki terlibat mencuri wayar tembaga tersebut.
Mengikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek terlibat mencuri wayar tembaga tersebut pada 12 Oktober 2026, jam lebih kurang 3.05 pagi hingga 3.10 pagi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh Akun Giman





