AGC fail permohonan kaji semula perintah pelepasan Najib

Facebook
WhatsApp
Jabatan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 10 November: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi, di sini bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, perkara itu berdasarkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 6 November lepas.

“AGC telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini untuk mengkaji semula dan meneliti kembali perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November dan untuk suatu perintah pelepasan yang baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lepas,” katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin pada 2.30 petang ini.

Pada 6 November, Najib membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap beliau dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi.

Pada tarikh sama, AGC dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara sehingga selesai penelitian dan penjelasan lanjut tentang interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat, serta kesan Perintah Pelepasan (Order of Discharge) yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi selepas bayaran denda RM50 juta dilunaskan.

AGC memaklumkan sepanjang tempoh penangguhan, Najib dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk pada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.

Pada 7 November, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sultan Ibrahim bertitah keputusan yang diperkenankan menerusi kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan itu perlu dilaksanakan sebagaimana yang telah diputuskan tanpa menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.

Pembayaran RM50 juta itu adalah antara syarat pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. – Bernama

Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR, 6 November: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam