KDN sedia laksana Perintah Mahkamah Tinggi berhubung tahanan rumah Najib

Facebook
WhatsApp
MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 10 November: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lepas dibatalkan dan diganti dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yakni tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.

“Setiap keputusan yang dibuat melalui saluran Perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan menurut undang-undang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kelewatan pelaksanaan sebelum ini berlaku kerana terdapat persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November lepas, khususnya mengenai pelaksanaan baki hukuman melalui tahanan rumah.  

“Keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini telah menjelaskan persoalan ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata KDN menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa persoalan berkenaan perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menegaskan bahawa tanggungjawab KDN dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah,” katanya.

Beliau berkata kes itu adalah kes berprofil tinggi yang mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar, justeru semua pihak perlu mengendalikannya dengan matang serta bertanggungjawab selain mengingatkan supaya polemik politik tidak menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan dan peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Raja Berperlembagaan, di samping menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman… prinsip-prinsip ini saling melengkapi dan merupakan asas kestabilan negara,” katanya. – Bernama

Najib bayar denda RM50 juta

KUALA LUMPUR, 6 November: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selesai menjelaskan denda RM50 juta dikenakan terhadapnya dalam