MIRI,10 November: Penduduk Kampung Muhibbah dan Kampung Masjid di Kuala Baram digesa supaya bersama-sama memelihara kebersihan sungai dengan tidak membuang sampah, sisa domestik serta bahan buangan lain ke dalamnya.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sungai yang bersih bukan sahaja menyediakan persekitaran lebih sihat dan selesa, malah menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, pembuangan sampah ke dalam sungai boleh menjejaskan ekosistem akuatik dan sumber perikanan, selain menyebabkan aliran sungai tersumbat sehingga meningkatkan risiko banjir.
“Usaha menjaga kebersihan sungai perlu bermula dari rumah, keluarga dan komuniti masing-masing.
“Ketua masyarakat, pemimpin komuniti serta golongan belia juga perlu menjadi contoh dan penggerak kepada usaha memelihara kebersihan sungai di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai bagi Kampung Muhibbah dan Kampung Masjid, Kuala Baram, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Lee berkata, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan pengurusan laluan sungai menerusi kerja pemantauan, pemasangan serta penyelenggaraan alat bantuan pelayaran dan papan tanda keselamatan.
Beliau memaklumkan bahawa LSS turut memasang papan tanda berhampiran balai raya sebagai peringatan kepada penduduk supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk kedua-dua kampung terus bekerjasama dengan LSS dan agensi berkaitan dengan melaporkan sebarang kerosakan kemudahan navigasi, ancaman keselamatan serta aktiviti yang boleh menjejaskan kebersihan sungai.
Lee turut menegaskan bahawa program kesedaran seumpama itu perlu memberikan kesan berpanjangan dan diterjemahkan kepada amalan dalam kehidupan seharian.
“Sungai yang selamat menyelamatkan nyawa, manakala sungai yang bersih menjamin kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling





