SERIAN, 10 November: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan inklusif dengan memastikan masyarakat pelbagai kaum dan agama menikmati manfaat menerusi inisiatif pendidikan, bantuan kebajikan serta pembangunan rumah ibadat di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan itu memperlihatkan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Menurutnya, dasar keterangkuman dan perpaduan berkenaan dilaksanakan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Dalam sektor pendidikan, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) diperkenalkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
Antara universiti terlibat ialah Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin dan Universiti i-CATS, dengan seramai 111 pelajar di Bahagian Serian telah menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Selain pendidikan, kerajaan negeri turut memperkukuh jaringan bantuan rakyat menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang telah memanfaatkan seramai 60,741 penerima di Bahagian Serian setakat Fasa Dua 2026.
Pelbagai inisiatif kebajikan lain turut disediakan, termasuk Dana Endowmen Sarawak (Endowment Fund Sarawak), Bantuan Ibu Bersalin, Kenyalang Gold Card serta Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat pada setiap peringkat kehidupan.
Dalam aspek keharmonian agama pula, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus memainkan peranan menyokong pembinaan, pembaikan dan penaiktarafan rumah ibadat serta penyediaan kelengkapan keperluan institusi keagamaan.
Bagi tempoh 2017 hingga 2026, kerajaan GPS telah memperuntukkan sebanyak RM565 juta menerusi inisiatif berkenaan untuk menyokong pembangunan rumah ibadat agama-agama lain di seluruh Sarawak.
Khusus di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 80 projek rumah ibadat, sekali gus membantu memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Selain itu, sebanyak 40 projek sekolah mubaligh di kawasan berkenaan turut diluluskan dengan peruntukan RM5.27 juta bagi tempoh 2021 hingga 2026 di bawah Fasa 1.
Uggah berkata, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus membawa pendekatan pembangunan yang memberi perhatian kepada kepentingan semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Beliau bukan sekadar memimpin, beliau mengemudi Sarawak dengan strategi yang jelas, tegas dan inklusif. Abang Jo is a leader of all races!,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian projek-projek bagi tempoh 2022 hingga 2026 di Kampung Meboi, hari ini.
Sehubungan itu, Uggah menyeru masyarakat agar terus mempertahankan persefahaman, keamanan dan keharmonian antara agama demi memastikan kestabilan serta kemajuan Sarawak dapat dikekalkan.
Katanya, semangat ‘Segulai Sejalai’ dan ‘Indi Awang Indi Asung’ yang membawa maksud satu hati, satu fikiran perlu terus dihayati sebagai asas perpaduan dalam membina masa depan Sarawak yang lebih sejahtera.
Oleh Adi Safarman





