SERIAN, 10 November: Penduduk tiga kampung di Serian kini menikmati kemudahan asas yang lebih baik apabila 16 projek pembangunan bernilai RM2.75 juta bagi tempoh 2022 hingga 2026 dirasmikan di Kampung Meboi, Kampung Junggu Mawang dan Kampung Batu Kudi hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek itu merangkumi kemudahan komuniti, rumah ibadat, jalan pertanian, sistem saliran, lampu jalan serta bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Pada hari ini, kita merasmikan 16 projek di Kampung Meboi, Kampung Junggu Mawang dan Kampung Batu Kudi bagi tempoh 2022 sehingga 2026 dengan jumlah kos RM2.75 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Meboi, dekat sini hari ini.
Di Kampung Meboi, antara projek yang siap ialah bilik gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), tandas awam dewan, penambahbaikan dewan, pembinaan semula Gereja Katolik Saint Bonaventure, jalan pertanian baharu dan parit konkrit.
Penduduk turut menerima manfaat menerusi Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak dan Program Tong Air.
Bagi Kampung Junggu Mawang, projek melibatkan penyediaan tapak pembinaan dewan dan naik taraf Gereja SDA Merbau, selain program bantuan rumah dan tong air.
Di kawasan Kampung Linsat/Batu Kudi pula, jalan ke Rumah Panjang Baru dinaik taraf, Chapel Saint Mark dibaik pulih, lampu jalan dipasang dari Kampung Meboi ke Linsat/Batu Kudi, dan parit konkrit dibina. Program Tong Air turut disediakan untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata, pembangunan di Bahagian Serian turut disokong pelbagai projek lain yang dibiayai kerajaan negeri.
Di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), 72 projek bernilai RM431.89 juta dilaksanakan.
Tujuh projek di bawah Projek Rakyat/Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kos RM1.14 bilion, manakala sembilan projek di bawah Program Transformasi Jambatan Luar Bandar berjumlah RM23.45 juta.
Beliau berkata, semua usaha itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), hala tuju Sarawak untuk menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“PCDS 2030 adalah pelan hala tuju strategik oleh kerajaan Sarawak untuk mentransformasikan wilayah ini menjadi sebuah wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Uggah turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola yang berjaya menganjurkan majlis itu.
Oleh Adi Safarman





